Editor MalaysiaNow dipanggil untuk soal siasat berikutan laporan portal berita itu bulan lalu yang mengaitkan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah.
Portal berita itu melaporkan bahawa seorang pegawai polis di Kota Kinabalu memaklumkan kepada mereka bahawa siasatan dibuat berikutan aduan Sabah Mineral Management (SMM), agensi negeri yang diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor, yang dikaitkan dengan skandal itu.
“Satu artikel diterbitkan di MalaysiaNow mengenai SMM yang dikatakan mengandungi dokumen sulit,” menurut polis dalam pesanan kepada editonya.
Kes itu dilapor disiasat bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana membocorkan dokumen sulit.
MalaysiaNow pada 21 Julai menerbitkan dokumen yang didakwa mengesahkan bahawa Farhash dianugerahkan lesen cari gali simpanan mineral di kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.
Pendedahan itu dibuat dia menafikan laporan terdahulu dan mengeluarkan notis henti siar dan ulas (cease and desist) kepada MalaysiaNow, dengan mendakwa portal itu menyebarkan dakwaan palsu.
SMM pula berkata ia memberikan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen cari gali kepada Bumi Suria Sdn Bhd–yang dikaitkan dengan Farhash–tetapi dibatalkan selepas syarikat itu gagal mengemukakan dokumen diperlukan.