Malaysia Oversight

Portal dakwa dokumen sahkan syarikat Farhash dapat lesen cari gali

By MkiniBM in July 21, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Portal berita MalaysiaNow menerbitkan dokumen yang didakwa mengesahkan bahawa Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dianugerahkan lesen cari gali simpanan mineral di kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.

Pendedahan itu dibuat selepas bekas setiausaha politik perdana menteri itu menafikan laporan terdahulu dan mengeluarkan notis cease and desist kepada MalaysiaNow, dengan mendakwa portal itu menyebarkan dakwaan palsu berhubung perkara tersebut.

Portal berita itu dalam laporan terbarunya, menyatakan dokumen berupa surat, rekod pendaftaran syarikat, minit mesyuarat lembaga pengarah dan rakaman audio diperoleh daripada sumber dalaman Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd – agensi pelesenan negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Bagaimanapun, MalaysiaNow memaklumkan bahawa portal itu memilih untuk tidak menyiarkan rakaman audio berkenaan yang dikatakan boleh menyokong lagi laporan mereka.

Maklumat dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diterbitkan turut disunting, dan hanya petikan daripada minit mesyuarat sahaja yang didedahkan kepada umum.

Laporan kedua ini diterbitkan selepas SMM menafikan ada mengeluarkan sebarang lesen cari gali kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Farhash, yang merupakan bekas pengerusi Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, memberitahu Malaysiakini bahawa berdasarkan rekod, tiada syarikat milik atau berkaitan Farhash yang pernah diberikan lesen sedemikian.

2ca1664fe027b14b7ff20ccdfa313888

Laporan MalaysiaNow beri gambaran berbeza

Merujuk kepada dokumen SSM yang dimilikinya, MalaysiaNow melaporkan bahawa dokumen tersebut menunjukkan pelantikan Farhash sebagai ahli lembaga pengarah Bumi Suria Sdn Bhd pada 7 Mei 2024, bersama seorang ahli perniagaan bernama Aminudin Mustapha.

Semakan Malaysiakini terhadap rekod rasmi syarikat mendapati Bumi Suria dimiliki oleh Borneo Bumi Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Farhash dan Aminudin. Kedua-duanya merupakan pengarah bagi kedua-dua syarikat itu.

Seminggu selepas Farhash dan Aminudin dilantik sebagai pengarah Bumi Suria, Hajiji didakwa memanggil mesyuarat lembaga SMM yang dihadiri sekumpulan individu.

5b0120297a4bb60d640752e470eee0f9

Menurut minit mesyuarat yang didakwa itu, antara yang hadir termasuklah kepimpinan tertinggi SMM seperti CEO ketika itu, Jontih Enggihon dan Sim, yang digambarkan sebagai “CSO”.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri sekurang-kurangnya empat tokoh korporat serta wakil eksekutif dari sebuah syarikat perlombongan Indonesia.

“Mesyuarat antara lain meluluskan permohonan Bumi Suria mendapatkan lesen carigali, memberikannya hak eksklusif meneroka simpanan arang batu seluas kira-kira 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan, iaitu kawasan yang hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

Melalui surat bertarikh 21 Mei tahun lalu, Jontih memaklumkan Bumi Suria mengenai keputusan tersebut. Ia dibalas Farhash melalui surat bertarikh 7 Jun di mana beliau “mengucapkan ribuan terima kasih” kepada SMM kerana meluluskan permohonan Bumi Suria,” menurut laporan MalaysiaNow.

[Baca berita penuh]



Source link