Malaysia Oversight

Portal Argentina dedah lagi pemain ‘warisan’ tiada kaitan Malaysia

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 3 minute
Portal Argentina dedah lagi pemain ‘warisan’ tiada kaitan Malaysia


Sebuah portal berita Argentina menyiarkan pendedahan kedua, mendakwa seorang lagi pemain “warisan” Malaysia sebenarnya tidak mempunyai asal usul keluarga dari Malaysia.

Portal Capital De Noticias (CDN) dalam laporan terbaharunya itu menyusuli pendedahan pertama pada 30 Okt, yang menjejaki salasilah pemain pertahanan skuad kebangsaan, Facundo Tomas Garces, sekaligus menolak dakwaan bahawa kesemua tujuh pemain kelahiran Eropah itu mempunyai pertalian sah dengan Malaysia bagi melayakkan mereka menerima kewarganegaraan.

7e1a5b97a88207b883b5cec0f25dcc43

Menurut laporan berkenaan, rekod kelahiran yang diperoleh portal itu menunjukkan datuk Garces, Carlos Rogelio Fernandez, bukan dilahirkan di Pulau Pinang seperti yang tercatat dalam dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya berasal dari Santa Fe, sebuah bandar di timur laut Argentina.

Satu-satunya maklumat tepat dalam rekod JPN ialah nama dan tarikh lahir Fernandez, manakala lokasi kelahirannya adalah tidak benar. Portal itu berkata ia mendapat akses eksklusif kepada dokumen asal tersebut.

Machuca juga tiada jejak asal usul Malaysia

Semalam, CDN menerbitkan pendedahan kedua melibatkan pemain sayap kanan dan kiri Harimau Malaya, Imanol Javier Machuca, yang didakwa tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Malaysia menerusi neneknya, Concepcion Agueda Alaniz.

“Menurut sijil kelahiran yang didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Sivil Wilayah Santa Fe, nenek kepada pemain tengah Vélez Sarsfield itu dilahirkan di bandar Roldan.

16b0fd991cd36ec2680e51a5d6dc5ac1

“Perlu diingat bahawa pemain tersebut sendiri pernah menyatakan dalam satu temu bual bersama media peminat Sabado Vélez bahawa hubungannya dengan Malaysia datang melalui neneknya, dan pertalian itu membolehkan dia bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia,” laporan itu menyebut.

Bagi konteks, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hanya mengiktiraf pemain warisan yang mempunyai hubungan melalui datuk atau nenek mereka.

Rekod perkahwinan juga tidak menyokong dakwaan Malaysia

CDN turut melaporkan kemungkinan berlaku kekeliruan atau salah tafsiran, mungkin berpunca daripada andaian bahawa Machuca mempunyai darah Malaysia kerana neneknya mungkin berkahwin dengan lelaki swarga Malaysia.

Namun, rekod perkahwinan juga tidak menyokong dakwaan itu.

“Pada 27 Ogos 1971, Concepcion Agueda Alaniz berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh harian yang juga dilahirkan di Roldan, di bandar San Jeronimo Sur.

“Akhirnya, tiada sebarang dokumen yang mengaitkan Machuca dengan Malaysia,” katanya.

06095b7025018059fbcd3b26fef2598a

Portal itu menambah bahawa meskipun pemain terbabit boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), bukti yang dikemukakan menunjukkan keraguan Fifa adalah berasas dan “nasib tujuh pemain berkenaan — sekurang-kurangnya buat Garces dan Machuca — sudah pun ditentukan.”

Pulang ke Argentina selepas digantung Fifa

Pada 11 Okt, New Straits Times melaporkan bahawa Machuca telah pulang ke negaranya selepas digantung dan disenarai hitam oleh Fifa.

Menurut laporan media Argentina Sábado Vélez, pemain berusia 25 tahun itu kini menyertai semula kelabnya, Club Atlético Vélez Sarsfield, selepas terbang ke Malaysia bagi menyelesaikan isu berhubung tindakan Fifa.

Namun, Machuca tidak akan layak beraksi untuk Vélez Sarsfield sehingga Fifa mengeluarkan keputusan rasmi terhadap rayuannya.

Fifa sahkan dokumen dipalsukan, tolak rayuan FAM

Pada 26 Sept, Fifa mengenakan tindakan disiplin terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain kelahiran luar negara, termasuk Machuca dan Garces, atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dokumen.

fc968df5e04771615f6eb92b6701b4c0

Fifa mendapati FAM telah mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan untuk mewakili Malaysia dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

FAM turut dikenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

Selain Machuca dan Garces, lima lagi pemain lain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Rodrigo Julian Holgado, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Fifa dalam alasan penghakimannya mendedahkan bahawa badan itu telah memperoleh dokumen kelahiran asal datuk dan nenek pemain yang didakwa ‘lahir di Malaysia’, yang ternyata bercanggah dengan dokumen yang diserahkan oleh pihak Malaysia.

2144f021b1131fc414f45541460b0818

FAM kemudiannya mengemukakan rayuan, namun pada 3 Nov, jawatankuasa rayuan Fifa menolak permohonan tersebut.

Fifa memaklumkan bahawa FAM dan pemain terlibat mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon alasan bertulis keputusan, dan 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CAS.

Susulan penolakan rayuan itu, FAM mengumumkan akan membawa kes berkenaan ke CAS, serta melantik bekas Ketua Hakim Negara, Raus Sharif, bagi mengetuai jawatankuasa bebas menyiasat isu tersebut, dengan laporan dijangka diserahkan dalam tempoh enam minggu.



Source link