Malaysia Oversight

Populariti musnah selepas kontroversi – Utusan Malaysia

By Utusan in September 14, 2025 – Reading time 3 minute
Populariti musnah selepas kontroversi - Utusan Malaysia


Menjadi selebriti semestinya tidak mampu lari daripada terpalit sebarang kontroversi yang mencuri perhatian umum. Perkara itu juga menjadi norma dalam kehidupan penggiat seni di seluruh negara.

Namun, adakalanya kontroversi itu juga mampu menjunamkan populariti seseorang selebriti dalam sekelip mata meskipun namanya sudah memuncak ke persada dunia. Berikut adalah antara selebriti yang popularitinya musnah selepas kontroversi.

Amber Heard

Selepas kontroversi perceraian dan fitnah sensasi bersama Johnny Depp pada 2022, kerjaya Amber Heard merosot teruk. Peranannya dalam Aquaman 2 dikurangkan sehingga ramai pihak industri menjauhkan diri daripadanya.

Kini, Amber memilih untuk membina semula kehidupannya di Madrid, Sepanyol, sambil membesarkan tiga anaknya. Walaupun jauh dari Hollywood, dia tidak terus menghilang daripada industri.

Aktres sensasi itu kembali ke layar perak menerusi filem, In the Fire dan kini melebarkan sayapnya ke pentas teater. Amber juga bakal membintangi drama, Spirit of the People di Amerika Syarikat secara tidak langsung menandakan ‘era baharu’ dalam kerjayanya.

Roseanne Barr

Semasa kemuncaknya pada 2018, sitkom Roseanne yang dibintangi Roseanne Barr menerima sambutan hangat, dan musim baharunya mendapat pembaharuan cepat oleh ABC.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila komedi ini dibatalkan selepas Roseanne memuat naik ciapan yang dianggap bersifat perkauman terhadap bekas penasihat Presiden Obama, Valerie Jarrett di aplikasi Twitter.

Pihak ABC segera membatalkan siri tersebut dan menjelaskan keputusan itu selari dengan nilai-nilai mereka. Impak daripada kontroversi tersebut, beberapa agensi turut menamatkan kontrak untuk bekerjasama dengannya.

Namun, pada 2023, beliau mula mengintai peluang kembali ke layar secara berdikari menerusi karya komedi stand‑up, dokumentari, dan rancangan baharu yang menjanjikan provokasi berterusan.

Gina Carrano 

Pelakon dan bekas atlet seni bela diri campuran, Gina Carano, mengalami kejatuhan kerjaya yang mendadak selepas namanya digugurkan dari siri popular, The Mandalorian pada 2021 susulan beberapa hantaran kontroversi di media sosial.

Gina, yang memegang watak Cara Dune, dibubarkan oleh Lucasfilm selepas membandingkan situasi politik semasa di Amerika Syarikat dengan penderitaan Yahudi semasa Holocaust.Perkara itu turut menyebabkan agensinya, UTA, menamatkan kerjasama dengannya. Siri Rangers of the New Republic yang dirancang khusus untuk wataknya juga dibatalkan.

Namun, pada 2024, Gina memfailkan saman terhadap Disney dan Lucasfilm atas dakwaan namanya digugurkan berdasarkan diskriminasi politik. Saman itu disokong oleh Elon Musk melalui platform media sosial X.

Lori Loughlin

Pelakon popular Hollywood, Lori Loughlin, kini kembali ke dunia lakonan selepas kerjayanya hampir musnah akibat penglibatannya dalam skandal kemasukan kolej elit Amerika Syarikat pada 2019.

Loughlin dan suaminya, Mossimo Giannulli, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan serta denda melebihi RM700,000 kerana membantu dua anak mereka masuk ke University of Southern California (USC) sebagai atlet palsu.

Susulan kontroversi itu, saluran Hallmark segera memutuskan hubungan, menggugurkan wataknya daripada siri When Calls the Heart dan membatalkan semua projek bersama. Beliau turut disingkirkan daripada Fuller House oleh Netflix.

Namun selepas menjalani hukuman, aktres itu perlahan-lahan kembali ke industri hiburan dan membuat kemunculan semula dalam siri When Hope Calls pada 2021.

Lena Dunham

Nama Lena Dunham pernah menjadi sebutan hangat dalam dunia hiburan selepas kejayaan siri Girls sekitar 2012. Namun, Lena nekad untuk menarik diri dari industri hiburan untuk beberapa tahun selepas dihimpit kontroversi yang mencetuskan kemarahan orang awam.

Lena pernah dikritik kerana kurangnya kepelbagaian dalam Girls, serta penulisannya dalam memoir Not That Kind of Girl yang dianggap menyentuh isu sensitif secara tidak wajar. Malah, tindakannya mempertahankan rakan sekerja yang dituduh melakukan salah laku seksual menambah tekanan terhadap reputasinya.

Kini, Lena kembali membuat kemunculan semula sebagai penulis dan pengarah menerusi siri terbarunya di Netflix, Too Much, diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri sekali gus menerima maklum balas positif.





Source link