Malaysia Oversight

‘Pope Francis lawan kekejaman Zionis ketika pemimpin Arab membisu’

By MkiniBM in April 24, 2025 – Reading time 2 minute
'Pope Francis lawan kekejaman Zionis ketika pemimpin Arab membisu'


Amanah hari ini merakamkan ucapan takziah atas kematian Francis, seorang pemimpin katolik yang disifatkan sebagai mercu tanda kepada keberanian moral dan suara hati nurani dunia.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata ketika pemimpin dunia Arab bersikap membisu terhadap pembunuhan rakyat Palestin di Gaza, Francis sebaliknya bangkit dan bersuara menentang kekejaman rejim Zionis.

“Lebih daripada sekadar kata-kata, Francis meniupkan semangat ke dalam jiwa penganut Katolik di Eropah dan seluruh dunia untuk bangkit menentang ketidakadilan.

“Beliau membuktikan bahawa menentang kekejaman regim Zionis bukan semata-mata isu politik atau agama, tetapi adalah perjuangan kemanusiaan yang melangkaui batas sempadan dan kepercayaan.

“Di saat pemimpin-pemimpin Arab bermaharajalela dengan kemewahan petro dolar, memilih berdiam diri, atau lebih malang, berdakapan mesra dengan mereka yang menzalimi rakyat Palestin, Pope Francis berdiri teguh di sisi mangsa.

“Alangkah eloknya jika pemimpin dunia Arab mampu berkaca pada keberanian Pope Francis – bukannya sekadar menjadi jaguh di pentas kemewahan, tetapi dayus di medan keadilan dan kemanusiaan,” kata Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu dalam kenyataan media.

6ca35174e02be4e0f8be87ce7a193e8a

“Pemergian Pope Francis adalah kehilangan besar kepada dunia, tetapi warisan keberanian, ketegasan dan kemanusiaannya akan terus menyala, menjadi obor perjuangan kepada semua yang menuntut keadilan.

“Menentang kekejaman rejim Zionis adalah perjuangan kemanusiaan, dan Pope Francis turut menjadi lambang kepada perjuangan kemanusiaan ini,” katanya.

Mohamad turut berkongsi beberapa gambar dirinya menandatangani Buku Takziah di Katedral St John the Evangelist di Kuala Lumpur, yang turut disertai oleh Uskup Agung Kuala Lumpur, Julian Leow Beng Kim.



Source link