Seorang lagi suspek dikejar polis Thailand kes tembak mati rakyat Malaysia di Sungai Golok, selatan Thailand awal bulan ini.
NARATHIWAT: Polis Thailand sedang memburu seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak mati seorang rakyat Malaysia di pekan Sungai Golok, selatan Thailand.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Prayong Kotsakha berkata suspek tersebut dikenali sebagai Salip Samae, 27, yang merupakan penduduk tempatan di pekan itu.
Beliau berkata siasatan mendapati Salip merupakan adik kepada seorang lagi suspek, Alif Samae, 31, yang telah menyerah diri kepada polis pada 2 November.
“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada suspek memiliki dua kerakyatan atau sebaliknya,” katanya kepada media Malaysia menerusi jurubahasa tempatan.
Prayong berkata jika suspek melarikan diri ke negara jiran, kemungkinan besar laluan yang digunakan adalah laluan haram.
Pihaknya sedang giat mengesan suspek dan melaksanakan sekatan jalan raya bagi membantu siasatan serta menyelesaikan kes pembunuhan itu.
Pada 2 November lalu, seorang lelaki rakyat Malaysia maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di pekan berkenaan. – Bernama
Post Views: 2






