GLOBAL | Mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia kira-kira 15 tahun lalu ditemui di sebuah pangsapuri di Valencia, Sepanyol, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan stesen TV RTVE dan Antena 3, penemuan mengerikan itu berlaku di kawasan kejiranan La Fuensanta selepas anggota bomba dan polis memasuki sebuah unit di tingkat enam bangunan pangsapuri bagi menyiasat banjir akibat hujan lebat.
Laporan itu menyebut anggota polis dan bomba memasuki premis berkenaan melalui tingkap.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati lelaki itu dikenali sebagai Antonio dan dipercayai meninggal dunia pada 2010. Dia berusia 70 atau 71 tahun ketika itu.
Mayat yang mengalami pemumiaan itu ditemui berpakaian lengkap di bilik tidur, dikelilingi burung merpati, bangkai merpati, serangga dan longgokan sampah.
Pintu pangsapuri itu pula dikunci dari dalam dan tiada tanda jenayah dikesan.
Polis Sepanyol percaya kematian berlaku secara semula jadi, namun menegaskan bahawa bedah siasat tetap akan dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Media melaporkan yang jiran-jiran amat terkejut apabila menyedari mereka hidup dalam pangsapuri berisi mayat selama 15 tahun.
Mereka yang mengenali Antonio menggambarkan lelaki tersebut sebagai seorang yang menyendiri dan tidak bersosial. Dia tinggal berasingan daripada keluarganya dan jarang berinteraksi dengan masyarakat setempat.
“Kami sangka dia sudah tinggal di rumah jagaan orang tua sebab memang tak pernah nampak dia,” kata seorang jiran kepada Antena 3.
“Kami tak kenal dia pun di sini. Kami semua masih terkejut,” kata seorang lagi kepada akhbar El País.
Akhbar itu turut melaporkan yang kematian Antonio tidak disedari kerana bil bulanan terus dibayar seperti biasa dan jiran-jiran turut mengosongkan peti suratnya yang sentiasa penuh.
– Bernama/dpa






