Malaysia Oversight

Polis tahan pemandu lori terlibat nahas 6 kenderaan

By MkiniBM in May 8, 2025 – Reading time 1 minute
Polis tahan pemandu lori terlibat nahas 6 kenderaan


Polis menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan enam kenderaan di susur keluar Lebuhraya Guthrie menghala ke lampu isyarat Bukit Subang yang mengakibatkan dua cedera parah semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata dalam kejadian kira-kira 1.20 tengah hari itu, lori yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Batu Arang menghala ke Cyberjaya dan dipercayai hilang kawalan.

“Siasatan awal berdasarkan rakaman video papan pemuka yang diperoleh mendapati lori itu terlebih dahulu melanggar sebuah kereta Proton Saga yang kemudiannya turut mengenai empat lagi kenderaan yang berada di lorong bersebelahan pada arah yang sama.

“Kejadian menyebabkan kerosakan teruk pada semua kenderaan terlibat dan kecederaan parah kepada pemandu Proton Saga, iaitu wanita berusia 29 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun yang sedang duduk di kerusi bayi di tempat duduk belakang kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan itu ialah dua buah kereta, sebuah van dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Dia berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Insp Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222.

-Bernama



Source link