NIBONG TEBAL: Polis menahan seorang pemandu lori ‘tipper’ yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya semalam.
Kejadian berlaku di kawasan Plaza Tol Jawi dengan pemandu tersebut memandu secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Jay January Siowou, mengesahkan penahanan suspek berusia 24 tahun itu di Padang Serai, Kedah.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Lori itu dipandu secara berbahaya, melanggar palang tol dan lampu isyarat merah sebelum berjaya ditahan,” jelas Jay dalam kenyataan rasmi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, polis telah menahan seorang daripada dua pemandu lori yang terlibat dalam kejadian serupa di Bukit Panchor.
Lori tersebut turut memandu secara berbahaya sehingga ke Jalan Transkrian sebelum berjaya dihentikan.
Bantuan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal polis berjaya menahan suspek di Jalan Sungai Duan, Kampung Ladang Kalidonia- Bernama