Malaysia Oversight

Polis tahan lima lelaki, bongkar stor simpanan ganja

By Utusan in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Polis tahan lima lelaki, bongkar stor simpanan ganja


GEORGE TOWN : Sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berjaya melumpuhkan satu kegiatan pengedaran ganja di sini yang dipercayai telah beroperasi sejak Fabruari lalu.

Ia susulan penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 56 tahun yang seterusnya membawa kepada pembongkaran sebuah stor yang dijadikan tempat penyimpanan ganja dengan nilai rampasan dadah sebanyak RM142,600, baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang berlangsung selama sembilan jam bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat itu menyasarkan beberapa lokasi di bandar ini untuk serbuan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai kira-kira 46 kilogram (kg) ganja di dua kediaman yang diserbu selain ganja yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard.

“Ini (ganja yang dirampas) termasuk 30 ketulan mampat ganja seberat 29,948 gram dan 16 ketulan mampat ganja seberat 16 kg. Keseluruhan hasil rampasan ini jika terlepas ke pasaran gelap pula boleh dibekalkan kepada sehingga 92,000 pengguna (dadah),” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Azizee berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, empat daripada suspek yang ditahan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) manakala seorang lagi pula positif methamphetamine.

“Semakan lanjut turut mendapati bahawa dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya yang memberitahu, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, dalam operasi yang sama, polis turut menyita dua buah kenderaan bernilai RM47,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang melibatkan sebuah Perodua Bezza dan Honda Accord sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM189,600.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain tidak kurang daripada 12 kali sebatan jika sabit kesalahan,” ujar beliau.-UTUSAN





Source link