Malaysia Oversight

Polis tahan fasilitator bagi bantu siasatan kes cabul empat murid lelaki

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 1 minute
Polis tahan fasilitator bagi bantu siasatan kes cabul empat murid lelaki


Polis menahan seorang fasilitator bagi membantu siasatan dakwaan mencabul empat murid lelaki darjah enam ketika program kem motivasi di sebuah kem di Balik Pulau, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata lelaki 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani, Kedah kira-kira 9 malam tadi, susulan laporan dibuat guru besar sekolah mangsa pada semalam.

“Berdasarkan laporan kejadian didakwa berlaku pada tengah malam 12 Okt ketika program motivasi membabitkan murid sebuah sekolah kebangsaan dari Kerian, Perak.

“Empat kanak-kanak itu mendakwa sedang tidur di dalam dorm menempatkan murid lelaki sebelum suspek dikatakan menyentuh beberapa bahagian badan mereka,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di Balik Pulau hari ini.

Sazalee berkata siasatan mendapati suspek merupakan fasilitator jemputan di kem tersebut dan semua mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan.

Suspek yang mempunyai dua anak kini direman sehingga 21 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

– Bernama



Source link