Polis menahan beberapa individu susulan kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur pagi tadi sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mencederakan pegawai polis itu.
“Saya cukup marah apabila dimaklumkan ACP Sulizmie Affendy cedera dibaling objek, hal ini bukan perkara kecil dan saya akan pastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan tegas dan ada beberapa individu yang ditahan,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi pengosongan rumah teres di kampung itu hari ini, yang dijalankan berikutan arahan mahkamah.
Terdahulu, Fadil turut dilihat memberikan penjelasan kepada penduduk yang berkumpul supaya memahami tanggungjawab pihak polis dalam melaksanakan perintah mahkamah.
Fadil berkata Sulizmie Affendy telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan atas kecederaan dialaminya.
“Saya difahamkan ada juga orang awam yang mengalami cedera ringan, iaitu terseliuh pada tangan dalam rempuhan itu dan kami akan kenal pasti individu berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata pihaknya mengesan sekumpulan individu dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru yang dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.
“Ada dalam kalangan individu (berkumpul) di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan serta mencurigakan, perkara itu diakui penduduk yang mengenal pasti terdapat orang luar turut berkumpul di sini yang menimbulkan kekecohan,” katanya.
-Bernama