Malaysia Oversight

Polis tahan 70 pengikut Falun Gong menjelang lawatan Xi

By MkiniBM in May 8, 2025 – Reading time 2 minute
Polis tahan 70 pengikut Falun Gong menjelang lawatan Xi



Polis menahan lebih 70 pengikut pergerakan Falun Gong di Kuala Lumpur sebelum ketibaan Presiden , Xi Jinping pada bulan lalu, dalam apa yang didakwa sebagai langkah pencegahan untuk menutup mulut penentang pemimpin Parti Komunis itu.

Dalam temu bual bersama Malaysiakini, beberapa tahanan — yang hanya dibebaskan selepas Xi meninggalkan Malaysia — berkata mereka ditahan polis berpakaian preman ketika serbuan ke atas perjumpaan kumpulan itu di sebuah lot kedai di Cheras pada 13 April lalu.

Serbuan itu berlaku hanya dua hari sebelum Xi tiba di Malaysia.

Max Chua, 45, antara kira-kira 47 rakyat Malaysia yang ditahan, berkata polis memberikan tiga kemungkinan alasan penahanan mereka, iaitu pertubuhan haram, pelanggaran imigresen, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).

Namun isterinya Jane Teo, 29, yang turut ditahan dalam serbuan itu, mendakwa seorang timbalan pendakwa raya memberitahu majistret semasa permohonan reman yang mereka disiasat atas perkaitan dengan ekstremisme dan keganasan.

298933acbd7b28a6b884044874a40b37
Max Chua

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mengesahkan tangkapan itu kepada Malaysiakini, dan berkata ahli kumpulan tersebut disyaki terlibat dalam pertubuhan haram.

Namun, Chua dan Teo percaya alasan itu hanyalah helah untuk menahan mereka.

“Soalan pertama yang polis tanya kami ialah: ‘Apa rancangan kamu semasa Xi berada di sini’?'” kata Chua.

Menurut pasangan itu, kumpulan berkenaan bukan membuat perancangan untuk sebarang protes sepanjang kehadiran Xi tetapi berkumpul untuk sesi bacaan buku.

Chua berkata jumlah mereka adalah seramai 76 orang, termasuk 29 warga dengan beberapa daripadanya adalah pemohon suaka di Malaysia.

Katanya, semua tahanan dibawa menaiki empat trak Black Maria ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Dia mendakwa semua tahanan warga Malaysia dibebaskan hanya sebelum tengah malam pada 17 April, beberapa jam selepas Xi berlepas dari Malaysia.

9a1b7f2f429d679b4d9af2f288bef213
Jane Teo

Tahanan warga asing pula dibebaskan secara berperingkat kemudiannya, dengan sebahagian daripada mereka dikatakan ditahan lebih 14 hari.

Ada juga dakwaan kekerasan oleh polis sepanjang tempoh penahanan, termasuk melibatkan seorang wanita berusia lebih 80 tahun yang didakwa mengalami kecederaan di kepala selepas ditolak oleh seorang anggota polis.

Falun Gong ialah gerakan kerohanian yang berasal dari China pada awal 1990-an. Namun, China mengharamkan amalannya pada tahun 1999, dengan ribuan pengikutnya ditangkap dan dipenjarakan.

Menurut laporan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) bulan lalu, sekurang-kurangnya dalam tujuh daripada 31 lawatan Xi ke luar negara dari 2019 hingga 2024, polis di negara tuan rumah telah menahan mereka yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman, sering kali tanpa alasan sah, bagi menghindari sebarang protes terhadap Xi.

Aktivis dikatakan telah menjadi sasaran hanya kerana mengangkat sepanduk, memohon untuk mengadakan protes, atau mengamalkan kepercayaan yang diharamkan seperti Falun Gong — membangkitkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa polis di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Luar Mohamad Hasan sebelum ni memaklumkan Xi menyatakan rasa puas hati dan menggambarkan lawatan tiga harinya ke Malaysia bulan lalu sebagai satu kejayaan besar.



Source link