Polis membuka kertas siasatan berhubung satu video tular memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta dipandu ibunya setelah tertinggal di hadapan sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan, Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit yang merupakan seorang suri rumah berumur 37 tahun.
Katanya kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada 20 Ogos lalu ketika suri rumah berkenaan mengambil pasangan anak kembarnya dari sekolah, namun semasa membuat pusingan U wanita itu menyedari ketiadaan seorang daripada anaknya di dalam kereta.
“Pengadu terus memberhentikan kenderaan setelah melihat anak lelakinya mengejar kereta dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Muhamad Farid berkata video berdurasi seminit berkenaan dimuat naik oleh satu akaun Facebook dengan kapsyen “marah anak janganlah tergamak buat sampai macam tu sekali” dan mengundang pelbagai komen negatif daripada pengguna media sosial terhadap wanita itu.
Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kes masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
– Bernama