Malaysia Oversight

Polis siasat video tular aibkan anggota URB ketika bertugas

By MkiniBM in November 10, 2025 – Reading time 1 minute
Polis siasat video tular aibkan anggota URB ketika bertugas


Polis membuka satu kertas siasatan berhubung penularan sebuah video di media sosial yang didakwa mengaibkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta di Subang Jaya, .

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata siasatan awal mendapati pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota URB dilakukan secara tertib dan mengikut peraturan yang ditetapkan, sebelum semua individu terlibat dilepaskan.

Beliau berkata pihaknya juga mengesan satu lagi video yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan berunsur aib terhadap anggota polis yang menjalankan tugas tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azlan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat kenyataan, tuduhan atau ulasan melulu yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap pasukan polis,” tegasnya.

Terdahulu, tular video berdurasi kira-kira 2 minit 40 saat yang memaparkan anggota URB menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kereta dinaiki warga asing yang cuba memasuki laluan bertentangan dan tidak membawa pasport.

– Bernama



Source link