Malaysia Oversight

Polis siasat kes kematian pelatih Palapes UTM

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar universiti dari Johor ketika menyertai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Ulu Tiram, Johor minggu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Johor, Abdul Latiff Mehat, kes tersebut buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh tanpa mengabaikan sebarang kemungkinan.

“Siasatan menyeluruh dibuat dan beberapa tindakan diambil termasuk keterangan saksi-saksi dan pegawai perubatan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Latiff mengesahkan pihak polis menerima dua laporan berhubung insiden yang berlaku pada 28 Julai itu. Satu laporan diterima daripada pegawai tentera pada hari kejadian, manakala satu lagi laporan dibuat oleh ibu mangsa semalam.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Haris Samsudin meninggal dunia semasa latihan menembak Palapes.

Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, membuat laporan polis selepas mendakwa mayat Haris mempunyai kesan lebam yang teruk, luka yang menyerupai kesan tembakan serta kesan darah daripada tubuhnya.

Dia mengesyaki anaknya telah dibunuh dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh terhadap kejadian tersebut.



Source link