Polis mengesahkan aktiviti bogel berlangsung pada acara yang digelar “Queen Nights” semasa program motivasi kontroversi yang diadakan di Shah Alam, Selangor pada Sept tahun lepas.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata aktiviti bogel itu dipanggil “rebirth” dan merupakan sebahagian daripada pakej program – dikenali sebagai Pakej B – yang berharga RM9,000.
“Pada majlis itu, memang ada kegiatan bogel yang dilakukan oleh empat individu. Acara itu dipanggil sebagai ‘Queens Night’ yang dilakukan pada malam terakhir program berkenaan.
“Siasatan mendapati aktiviti bogel itu dilakukan oleh fasilitator dan juga peserta program berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Semalam, media melaporkan pasangan yang mengasaskan syarikat di sebalik program itu ditahan polis.
Pasangan itu, Diyana Tahir dan Rahim Shukor, yang mengasaskan syarikat eHati International Sdn Bhd, baru-baru ini disiasat oleh polis dan pihak berkuasa agama Selangor.
Dalam kenyataan sebelum ini, pasangan itu menafikan dakwaan mengenai ajaran sesat dan penyalahgunaan bahan di eHati, susulan tuduhan yang dibuat oleh pengguna Facebook yang mendakwa mempunyai bukti.
Pasangan itu menggambarkan diri mereka sebagai pengamal bertauliah dalam “bidang hipnoterapi”, dan setiap program eHati dibangunkan untuk mematuhi piawaian etika profesional dan sejajar dengan nilai budaya dan agama Malaysia.
Mengulas lanjut, Hussein berkata polis telah mengenal pasti 50 peserta program itu yang diminta tampil memberikan keterangan.
“Kita juga kesan terdapat dari kalangan penjawat awam yang menyertai program ini, siasatan lanjut masih dijalankan, beri kami ruang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Setakat ini, katanya 30 individu telah memberikan kenyataan.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair yang digunakan sebagai minuman pada majlis itu,” tambahnya.
Jelasnya, sampel cecair berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Program itu, yang dipercayai berlangsung pada September tahun lalu, mencetuskan kontroversi selepas pengguna Facebook Masyitah Ashari mendakwa minggu lalu bahawa program itu menampilkan peserta yang membuka pakaian, mengambil minuman tertentu, dan mengambil bahagian dalam upacara yang menjadi pertikaian.
Antara dakwaan yang lebih mengejutkan ialah seorang pengasas jenama dan fasilitator berbogel di hadapan kumpulan itu, diikuti dengan jemputan untuk orang lain minum cecair misteri yang didakwa mencetuskan perubahan mood.
Para peserta juga dikatakan diminta untuk terlibat dalam tarian provokatif, ritual mandi suci, dan aktiviti “rebirth”.
Sementara itu, Kosmo melaporkan enam individu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk reman berhubung kes sama.