Malaysia Oversight

Polis rujuk ke mahkamah koroner, sarankan inkues

By MkiniBM in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
Polis rujuk ke mahkamah koroner, sarankan inkues


Polis telah merujuk kertas siasatan berhubung kematian Dr Shintumathi Mutusamy pada 8 Okt 2023 ke mahkamah koroner, dengan cadangan agar satu inkues dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan oleh firma guaman Abd Halim Ushah & Associates yang mewakili keluarga doktor berkenaan, yang ditemui meninggal dunia di biliknya di sebuah kondominium di Petaling Jaya.

97fe02544bb5ebd5501698e71116a253
Mahajoth Singh

Peguam Mahajoth Singh mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa firma tersebut menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar pada 19 Sept lalu.

Surat bertarikh 26 Ogos itu menyatakan kertas siasatan telah dihantar ke Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 Mei.

Menurut Mahajoth, dia telah menulis kepada mahkamah koroner semalam untuk mendapatkan pengesahan berhubung penerimaan kertas siasatan berkenaan, selain perkembangan terkini kes tersebut.

“Shintumathi ditemui meninggal dunia pada 8 Okt 2023, tetapi sehingga kini polis belum mengemas kini keluarga tentang status siasatan. Kelewatan sebegini tidak dapat diterima.

“Saya berharap mahkamah koroner akan memaklumkan secepat mungkin sama ada inkues akan diadakan,” katanya.

287e2021050de452f89f442b336546e4
Shahrulnizam Ja’afar

Mahajoth menambah bahawa “percanggahan” dalam kenyataan doktor yang menjalankan bedah siasat sepatutnya menjadi asas kukuh untuk memulakan inkues.

Laporan bedah siasat sebelum ini menyatakan punca kematian Shintumathi adalah “asfiksia sedutan akibat gas termampat dan beg plastik”.

Bagaimanapun, dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Dusuki Mokhtar bertarikh 3 Sept, Mahajoth berkata pegawai perubatan yang melakukan autopsi atau bedah siasat turut menyatakan dalam dokumen berasingan bahawa kematian Shintumathi berlaku dalam keadaan mencurigakan bukan semula jadi.

“Kedua-dua dokumen ini jelas menunjukkan sebab kematian yang berbeza. Kami berpendapat percanggahan besar ini adalah asas yang kuat untuk memulakan prosiding inkues,” katanya dalam surat itu.

Mahajoth juga mendakwa meskipun 28 laporan polis telah dibuat, keluarga Shintumathi masih belum menerima sebarang keputusan atau maklumat terkini mengenai siasatan polis.

d5e2e795f4b8f4bcc7eb3b29631dac94

Berdasarkan kronologi dalam surat 3 Sept itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menuntut keadilan buat Shintumathi, yang difahamkan memiliki sebuah klinik bersama seorang lagi doktor sebelum kematiannya.

Pada 3 Jan dan 18 Julai 2024, keluarga telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya menggunakan budi bicara mengarahkan inkues dijalankan, namun kedua-dua permintaan itu tidak berbalas.

Ibu Shintumathi turut mendakwa lokasi penemuan mayat anaknya dipenuhi darah serta cecair kuning tidak dikenali, namun pegawai penyiasat tidak mengutip bahan itu untuk dianalisis sama ada wujud penglibatan individu lain atau tidak.

Dia juga mendakwa polis gagal menghantar dua tilam berlumuran darah untuk ujian DNA dan hanya mengambil rakaman CCTV sehari selepas kematian Shintumathi, sedangkan rakaman hari-hari sebelumnya tidak diendahkan.



Source link