Polis telah merakam kenyataan daripada dua kakitangan kanan China Press dalam siasatan berhubung catatan media sosial akhbar itu yang didakwa salah mengenai titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.
Jabatan Siasatan Jenayah berkata akhbar itu sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pada 21 Januari, sekitar jam 1 petang, pihak polis telah memanggil serta merakam kenyataan dua pegawai kanan dari China Press, iaitu ketua editor dan sub-editor untuk siasatan lanjut mengenai hantaran yang diterbitkan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah M. Kumar S. Muthuvelu.
Jabatan itu berkata siasatan itu dicetuskan oleh catatan Facebook China Press yang memaparkan terjemahan salah bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 Januari.
Akhbar itu juga sedang disiasat oleh pengawal selia internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
China Press telah memohon maaf kerana salah melaporkan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, dengan mengatakan bahawa tajuk utama dalam catatan media sosialnya menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong dengan tidak tepat.
“Kami telah segera membuat pembetulan setelah menemui kesilapan tersebut,” kata China Press dalam satu kenyataan pada 20 Januari.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang salah faham yang disebabkan oleh tajuk utama yang tidak tepat, terutamanya yang berkaitan dengan titah ucapan penting oleh Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan oleh Malaysiakini mendapati bahawa grafik yang salah yang disiarkan oleh China Press telah digantikan dengan yang baru pada jam 1.38 petang pada 19 Januari, kira-kira satu setengah jam selepas catatan Facebook yang awal.
Dalam titah diraja baginda pada pembukaan sidang parlimen 2026, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa sebarang sistem pendidikan yang diperkenalkan di Malaysia mesti sejajar dengan dasar pendidikan negara, yang berasaskan bahasa kebangsaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
“Kalau ada yang tak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda.






