Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegur pihak polis kerana cuba menjadi pengantara dalam kes buli berbanding menyiasat insiden yang dilaporkan kepada mereka.
Bercakap di Dewan Rakyat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) menegur Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail supaya menghentikan amalan tersebut, dengan menegaskan tindakan ia hanya akan mengekalkan budaya buli.
Syed Saddiq merujuk satu kes terkini di Johor, di mana seorang ibu mendakwa pegawai polis enggan menyiasat kes buli yang menimpa anak lelakinya.
“Kerisauan saya kes buli ni kadang kala polis cuba mediate jadi orang tengah. Walhal ini kes buli sampai adik tu dihospitalkan, sepatutnya terus buka siasatan, terus ambil tindakan.
“Kini hanya bila dah diviralkan baru siasatan diambil alih dan sekarang akan ada tindakan.
“Kerisauan saya puluhan ribu lagi anak muda di luar sana dibuli, ibu bapa pergi ke polis tapi tak diviralkan, dengan itu tak ada tindakan.
“Ini bukan masa untuk mediasi kerana mediasi sedikit sebanyak akan menormalisasikan buli,” kata Syed Saddiq ketika mencelah ucapan Saifuddin mengenai Rancangan Malaysia ke-13 di Dewan Rakyat.
Sebagai respon, menteri itu menyambut baik pandangan Syed Saddiq dengan menyatakan pihaknya menghargai semua pandangan.
Saifuddin berkata dia akan menghubungi polis Johor untuk mendapatkan semua fakta mengenai kes yang dirujuk supaya dapat memberikan penjelasan yang lebih baik.

Dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, yang turut menghidap kanser hidung, dimasukkan ke hospital pada Mac lalu selepas dibuli oleh seorang budak lelaki.
Suspek dikatakan memukul mangsa, termasuk di kepala, serta memaksa kanak-kanak itu menanggalkan pakaian.
Perbuatan itu didakwa berlaku selepas kakak mangsa menolak cinta suspek buli berkenaan.
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, kemudian membuat laporan polis namun mendakwa pegawai polis enggan menyiasat dan hanya menjadi pengantara dengan mengatur pertemuan antara keluarganya dan keluarga suspek.
“Sehingga kini, saya tidak berpuas hati kerana kesan terhadap anak saya amat mendalam,” kata Siti Suhana.