Polis Pahang tumpas sindiket dadah, rampas ganja dan bunga ganja bernilai RM5.34 juta dalam serbuan di Bentong dan Maran.
KUANTAN: Polis Pahang berjaya merampas dadah jenis ganja dan bunga ganja bernilai RM5.34 juta hasil dua serbuan berasingan di Bentong dan Maran.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata serbuan pertama dijalankan pada 4 November di Bentong.
Dalam serbuan itu, polis menemui 240 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki bunga ganja seberat 140.4 kilogram di dalam sebuah kereta Toyota Camry.
Kereta itu ditinggalkan di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.
“Nilai pasaran dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM5.04 juta bersamaan RM36,000 bagi 1kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejakat Polis Kontinjen Pahang.
Semakan mendapati kenderaan tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki warga tempatan dari Johor Bahru.
Usaha mengesan pemilik kenderaan tersebut masih sedang dijalankan.
Dalam serbuan kedua pada 6 November, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun di Maran.
Suspek ditahan bersama 102 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis ganja seberat 98kg.
Nilai rampasan dalam serbuan kedua ini dianggarkan RM303,800.
“Serbuan dijalankan dengan menahan sebuah kereta Perodua Ativa di kawasan hentian rehat dan rawat Maran menghala ke Kuala Lumpur,” jelas Yahaya.
Suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah dan mendapat upah antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk setiap penghantaran.
“Ini bukan kali pertama dilakukan suspek,” tambah Yahaya.
Keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.
Suspek juga mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan bawah seksyen ini membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan. – Bernama
Post Views: 1






