Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram, stesen transceiver asas palsu (Fake BTS), melalui Op Pancing baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil risikan dan aduan awam, operasi bersepadu itu membawa kepada penahanan seorang individu yang mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif, dan ujian frekuensi mengesahkan ia digunakan untuk menghantar SMS palsu mengandungi pautan phishing serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam,” katanya.
Susulan tangkapan tersebut, MCMC dengan bantuan PDRM menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.
Kata MCMC, siasatan awal turut mengenal pasti modus operandi baru sindiket, iaitu mengubah suai peralatan Fake BTS untuk beroperasi secara mudah alih.
Menurut kenyataan itu lagi, 45 barangan bernilai kira-kira RM100,000 dirampas, manakala seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes berkenaan turut disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
– Bernama