Polis telah mengklasifikasikan semula kematian pempengaruh yang ditemui di sebuah hotel di Kuala Lumpur bulan lalu, sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus mengesahkan pengklasifikasian semula itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Untuk makluman laporan sebelum ini diklasifikasi sebagai SDR (mati mengejut) terhadap seorang warganegara China yang dijumpai mati di Banyan Tree Hotel Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh Sek 302 KK.
“Siasatan lanjut kes sedang dijalankan,” katanya.
Walaupun kenyataan polis itu tidak menamakan mangsa tersebut, kes itu dipercayai dikaitkan dengan pempengaruh Hsieh Yu-hsin, yang dikenali dalam talian sebagai Iris Hsieh atau “Dewi Jururawat”.

Kematiannya menarik perhatian meluas selepas laporan muncul bahawa dia sedang mengusahakan projek video dengan penyanyi rap Malaysia Namewee sebelum ditemui mati.
Namewee, yang nama sebenarnya Wee Meng Chee, juga ditangkap di hotel yang sama dan kemudian didakwa atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah.






