Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak 40 pegawai dan anggota untuk memantau perhimpunan Demi Zara yang dijadualkan di pekarangan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, malam ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata pihaknya akan menempatkan anggota keselamatan di sekitar lokasi perhimpunan.
“Setakat ini tiada sebarang penutupan atau lencongan jalan raya namun ia bergantung kepada situasi semasa. PDRM akan memudah cara peserta perhimpunan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zara Qairina Mahathir disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada jam empat pagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar memaklumkan siasatan kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.
Jabatan Peguam Negara juga memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues selepas meneliti laporan siasatan PDRM.
-Bernama