KOTA BHARU: Dua buah pangkalan haram yang dikenali sebagai Dua Riya dan Nusi di Tanah Merah menjadi lokasi terbaharu dirobohkan oleh Polis Kelantan dalam dalam usaha mengekang aktiviti jenayah termasuk penyeludupan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kerja-kerja merobohkan dua pangkalan haram itu dilakukan pada 4 November lalu menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Tanah dan Galian serta pihak berkuasa tempatan.
Katanya, pada 28 Oktober lalu pangkalan haram Gergaji dan MCA di Rantau Panjang menjadi lokasi rintis kepada kerja-kerja tersebut.
“Kita akan teruskan operasi ini dari masa ke masa sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Kerja-kerja ini dijangka mengambil masa selama dua bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia 28 Oktober lalu melaporkan, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini, yang menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkat, pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa selama dua bulan.
Katanya, hasil semakan yang dilakukan mendapati 216 daripada jumlah keseluruhan 233 pangkalan haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina atas tanah milik kerajaan.-UTUSAN






