Suaram mengecam satu lagi penahanan membabitkan seorang aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini, mendakwa ia kes keenam dalam tempoh empat bulan.
Menggelarnya sebagai “tangkapan hendap”, Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron berkata siswa ijazah Sarjana Muda, Sudirman Arshad didakwa ditahan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan awal hari ini.
Ini berlaku walaupun terdapat persetujuan awal bahawa Sudirman akan hadir untuk memberikan keterangan pada 1 November.
Dia akhirnya dibebaskan selepas disoal siasat lebih lima jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Dalam hanya empat bulan, enam aktivis pelajar, termasuk Sudirman, telah ditangkap dalam keadaan yang menunjukkan pelanggaran proses sewajarnya atau taktik tidak seimbang.
“Ini termasuk cubaan tertutup oleh Cawangan Khas untuk mendapatkan ‘kenyataan risikan’ secara tidak sah selepas kenyataan direkodkan, sedangkan para pelajar telah hadir secara sukarela di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk memberi kenyataan bagi siasatan lain,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurut kumpulan mahasiswa Suara UMS, Sudirman hadir ke IPD Kota Kinabalu hari ini untuk memberikan kenyataan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Bagaimanapun, dia didakwa tiba-tiba dikepung dan disoal siasat oleh beberapa anggota polis berhubung penglibatannya dalam gerakan Gempur Rasuah Sabah 2.0 pada Jun lalu.
Abai kedaulatan undang-undang
Tidak berpuas hati, Azura berkata tindakan pihak polis menjejaskan dakwaan bahawa kerajaan menyokong kebebasan berhimpun serta keputusan Mahkamah Persekutuan pada Julai yang memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman — yang mewajibkan penganjur memberi notis kepada polis — sebagai tidak mengikuti perlembagaan.
Katanya tindakan polis itu sebagai menunjukkan “pengabaian berterusan terhadap kedaulatan undang-undang” sambil menyorot bagaimana pihak berkuasa sebelum ini turut melakukan tangkapan di rumah dan tempat kerja tanpa keperluan yang jelas.
“Walaupun kami ambil maklum pembebasan Sudirman, kami menuntut siasatan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 509 itu digugurkan serta-merta.
“Polis juga mesti berhenti menggunakan Akta Hasutan dan peruntukan tertentu Kanun Keseksaan untuk mengawal tindakan berkaitan perhimpunan,” tambah Azura.
Bulan lalu, beberapa mahasiswa UMS didakwa ditahan di bawah Akta Hasutan ketika menyertai acara nyalaan lilin untuk mangsa buli berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.
Pada 2 September, seorang siswi UMS turut disoal siasat lebih lima jam dan diminta memberikan ‘kenyataan risikan susulan’ walaupun tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan polis berbuat demikian.
Pada Ogos, seorang lagi siswa turut berdepan sesi soal siasat berpanjangan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, di mana telefon bimbit dan kad SIM miliknya dirampas — didakwa berkaitan dengan komen yang dibuat pada halaman Facebook Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.
Begitu juga pada Jun, tiga aktivis mahasiswa Sabah turut ditahan berhubung pembabitan mereka dalam Gempur Rasuah Sabah 2.0, sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.
[Baca berita asal]






