Polis sedang mengesan individu terlibat dan menjadi saksi kejadian seorang wanita terjun keluar dari sebuah kenderaan di Lebuhraya Sprint, Kuala Lumpur seperti yang tular menerusi video berdurasi 14 saat.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata video itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Lion Wong dan memaparkan seorang wanita membuka pintu dan keluar ketika kenderaan itu sedang bergerak laju di laluan kedua lebuh raya terbabit.
“Wanita tersebut bergolek di atas jalan raya dan hampir dilanggar oleh beberapa kenderaan.
“Polis Diraja Malaysia mengesahkan setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang terlibat atau saksi kejadian diminta tampil membuat laporan polis di mana-mana balai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
– Bernama