Malaysia Oversight

Polis cari dua individu didakwa aniaya Eda Ezrin, suami

By MkiniBM in August 10, 2025 – Reading time 2 minute
Polis cari dua individu didakwa aniaya Eda Ezrin, suami


Polis menyifatkan keterangan diberikan Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 33, bersama suami dan rakannya adalah konsisten berhubung dakwaan mereka dianiaya.

Ketua Polis Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata berdasarkan keterangan yang diambil, kesemua mereka mendakwa dianiaya oleh dua rakan iaitu seorang wanita dan seorang lelaki.

“Setakat ini, apa yang boleh saya nyatakan ialah semua keterangan mereka termasuk Eda Ezrin, suami dan rakannya adalah selari iaitu mereka tidak mengaku dadah berkenaan milik mereka, sebaliknya mendakwa telah dianiaya oleh rakan.

“Polis akan mengesan dua individu yang disebut Eda Ezrin dan yang lain itu untuk siasatan kerana kedua-duanya memang berada dalam pemantauan kami berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff memaklumkan pihaknya masih boleh memanggil Eda Ezrin dan lima yang lain untuk membantu siasatan jika keadaan memerlukan.

Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat pada 6 Ogos lepas setelah lebih sembilan bulan ditahan, kira-kira 11 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pendakwa raya negara jiran gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.

Keenam-enam individu itu ditahan pada 1 Nov lepas atas dakwaan memiliki 6,059 pil yaba. Permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak mahkamah.

Mereka kemudian dihantar pulang ke Kelantan pada Khamis dan Jumaat lepas sebelum polis mengambil keterangan di Balai Polis Rantau Panjang dan IPK Kelantan.

– Bernama



Source link