Malaysia Oversight

Polis buru banduan hilangkan diri daripada program pelepasan banduan

By MkiniBM in August 30, 2025 – Reading time 1 minute
Polis buru banduan hilangkan diri daripada program pelepasan banduan


Polis sedang mengesan seorang banduan yang menghilangkan diri daripada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di kawasan Desa Coalfields, Sungai Buloh, .

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata laporan kehilangan banduan berkenaan iaitu M Devan, 39, telah diterima pada 11 malam semalam.

Dia berkata banduan berkenaan sedang menjalani hukuman penjara 12 bulan di Penjara Kajang atas kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kini disyaki menghilangkan diri daripada pemantauan serta seliaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur.  

“Pencarian telah dibuat oleh pihak pejabat parol berkenaan namun Orang Bebas Berlesen (OBB) itu gagal ditemui.

“Semakan juga dibuat di balai polis serta mendapati tiada rekod tangkapan dan penahanan terhadap OBB tersebut di mana-mana lokap oleh polis manakala semakan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang juga mendapati tiada sebarang rekod kemasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata keluarga Devan turut mengesahkan bahawa banduan itu tidak pulang ke rumahnya.

Sehubungan itu, dia berkata polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp Ekmal Hasif bin Mohd Noor di talian 011-3539 6787 atau Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222.

-Bernama



Source link