ULASAN | Kekecohan yang tercetus di Kampung Sungai Baru, Kampong Baru pagi tadi bukan sekadar isu setempat. Ia perlu dilihat dalam skop yang lebih luas – tetapi dengan mata yang jernih dan dada yang tenang.
Di sebalik geger segelintir penduduk yang membantah serta pihak berkuasa yang menjalankan tugas, ada watak lain yang mungkin selalu tidak diendahkan oleh orang ramai.
Sama ada disedari atau enggan diperhatikan, ada watak-watak tertentu yang kelihatan mahu menjadi juara. Bahkan lebih menarik, sesetengah mereka merupakan orang luar yang datang dengan entah membawa niat apa.
Justeru apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru hari ini juga perlu dilihat sebagai suatu ‘seni persembahan’ yang melibatkan tangan-tangan tertentu dan seolah-olah tok dalang di belakang layar wayang kulit.
Kadang-kadang mereka hadir dengan bersahaja dan meninggalkan pakaian berupa jawatan politik di tepi jalan dan menjadi rakyat marhaen yang kononnya tertindas.
Mereka gigih membingkaikan isu di situ sebagai suatu kekejaman kerajaan ke atas rakyat yang menderita.
Sedangkan hakikat sebenar bukan begitu. Di sisi lain entah berapa ramai penduduk Kampung Sungai Baru yang ternafi hak mereka untuk mendapat kediaman yang lebih selesa, bermaruah dan layak.
Dan tanpa disedari, sesetengah watak dari luar yang beraksi seperti golonga tertindas itu bahkan mungkin memiliki aset atau kekayaan besar. Menjadi ahli perniagaan yang berjaya, misalnya.
Itulah natijah apabila masyarakat gagal berpegang kepada prinsip tabayyun iaitu menyemak dan menilai sesuatu khabar dengan teliti sebelum mempercayainya. Kita – seperti selalu – lebih suka dibuai emosi, atau kata-kata bersemangat orang politik.
Pada masa sama, pembangkang sebenarnya terpukul dengan mengalirnya darah pegawai polis pagi tadi.
Alangkah ironinya ketika mereka dari semasa ke semasa cuba mengelak mengecam penjawat awam dalam kritikan kepada kerajaan, tiba-tiba sudah nampak seperti mahu bermusuh pula dengan kumpulan berkenaan.
Adakah detik malang tadi menandakan bermulanya era baru pembangkang yang mahu berseteru dengan polis pula?
PN mesti bersikap dengan tegas dan jelas berhubung insiden yang tidak diingini tadi. Kecam tindakan mencederakan pegawai polis atau jika tidak, itu bermakna mereka memberikan restu kepada keganasan.
HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah Ketua Amanah Kepong.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.