PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan latihan simulasi Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) 2025 selama dua hari bermula esok di sekitar ibu negara.
PDRM dalam kenyataan memaklumkan, latihan yang membabitkan pergerakan konvoi pemimpin negara-negara ASEAN dan GCC itu akan diadakan secara penuh mengikut masa sebenar ke lokasi ditetapkan.
Antara lokasi yang terlibat ialah hotel penginapan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi sesi persidangan, KLCC ke Istana Negara bagi majlis santapan diraja serta kembali semula ke hotel selepas majlis makan malam gala.
“Latihan tersebut akan dijalankan mengikut waktu sebenar bagi raptai pergi dan pulang melibatkan laluan utama ibu negara.
“Pada 21 Mei, latihan membabitkan negara-negara ASEAN manakala 22 Mei melibatkan kerjasama dengan negara-negara GCC,” jelas kenyataan itu.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Menurutnya, penutupan jalan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Mei depan melibatkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke KLCC, Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Setiap penutupan dijangka berlangsung 30 hingga 45 minit antara 8 pagi dan 8 malam secara berkala mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Antara laluan utama yang terlibat adalah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Imbi, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Parlimen, Jalan Damansara dan Jalan Kuching.
“Enam lebuh raya yang terlibat pula ialah Lebuhraya ELITE, NKVE, GUTHRIE, MEX, KL-Seremban dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta,” katanya. – UTUSAN