Malaysia Oversight

Polis akan buka semula siasatan kes kematian Wan Faris

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 1 minute
Polis akan buka semula siasatan kes kematian Wan Faris


PARLIMEN | Polis akan membuka semula siasatan terhadap kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang meninggal dunia 12 tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

“Sekarang keluarga (Wan Ahmad) Faris mendesak untuk (kes itu) dilihat semula. Saya hendak beritahu, ya polis akan buka semula (siasatan).

“Saya sudah bincang dengan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah berkenaan apa yang menghalang kita untuk tengok semula (kertas siasatan), polis kata tiada masalah apa-apa untuk buka balik kertas siasatan itu kerana ia sudah lengkap,” katanya ketika menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar).

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris dilaporkan menuntut pihak berkuasa membuka semula siasatan terhadap kematian remaja itu pada Disember 2013.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Mayatnya dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Namun, Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada perbuatan individu tidak dikenali, dan menolak kemungkinan bunuh diri sebagai punca kematian.


Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, Haspaizi Zain



Source link