PARLIMEN | Kerajaan memberi bayangan usaha membawa balik menantu Muhyiddin Yassin – yang kini menjadi orang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia – mungkin tidak lagi buntu seperti sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjumpai “petunjuk baru” dalam usaha mengesan dan menahan Muhammad Adlan Berhan.
Katanya, “petunjuk baru” tersebut diperolehi melalui kerjasama yang dijalin di antara PDRM dengan Polis Antarabangsa (Interpol). Bagaimanapun Saifuddin enggan memberi butiran lanjut mengenainya.
“Saya boleh sebut bahawa kerjasama antara kita dengan Polis Antarabangsa sedang berjalan, dan sememangnya kita temui beberapa petunjuk baru – itu saya boleh sebut.
“Saya tak mau elaborate in detail (jelaskan dengan lebih terperinci) sebab mungkin menggangu siasatan, tapi yes, kita mengesan ada petunjuk baru yang membantu usaha kita mengesan dan membawa (Adlan) balik,” katanya.
Senator itu berkata demikian semasa menggulung perbahasan perbahasan Rang Undang-Undang Perolehan 2026 bagi Kementerian Dalam Negeri.
Sebelum itu RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun untuk bertanya tentang keberadaan Adlan serta kegagalan pihak berkuasa membawa ahli perniagaan berkenaan ke muka pengadilan.
Rayer turut membuat dakwaan bahawa dia yakin Muhyiddin tahu di mana menantunya itu berada namun enggan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.
Polis dengan polis
Ia kemudian mencetuskan kekecohan apabila blok pembangkang tidak berpuas hati dengan kenyataan ahli parlimen kerajaan berkenaan.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) turut menggesa Rayer agar tidak berpolitik dalam isu berkenaan.
Adlan kini dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Dia meninggalkan Malaysia pada 2023.

Pada 23 Okt lalu Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan waran tangkap ke atas Adlan sudah dikeluarkan dan tindakan susulan sedang giat dibuat bersama pihak berkuasa negara luar.
Sebelum itu media melaporkan yang Adlan kini menjalani hidup mewah di luar negara dan dikatakan mengunjungi Thailand untuk bermain golf.
Menurut Saifuddin dia sendiri menemui ketua Interpol berhubung kes berkenaan dan mengesahkan makluman yang dikeluarkan pihak berkuasa negara ini ada dalam pengetahuan mereka.
Katanya, kerjasama itu dibuat di antara PDRM dengan polis negara berkaitan.
“Semalam SPRM sudah membuat kenyataan bahawa siasatan ke atas Adlan sudah selesai dan kertas kes itu akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk dinilai.
“Sama ada ia berakhir dengan pendakwaan atau tidak, terserah kepada AGC. Tugas kita (KDN) ialah membantu – sama ada melalui Jabatan Imigresen Malaysia atau PDRM – untuk membawa dia pulang,” katanya.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, N Faizal Ghazali, dan Qistina Nadia Dzulkarnain






