LIPIS: Hujan lebat disertai angin kencang dan petir mengundang detik cemas kepada penduduk Kampung Jeransang Hilir, Benta apabila sebatang pokok durian berusia lebih 80 tahun tumbang lalu menghempap dua buah rumah, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, seorang lelaki, Nazri M. Adam, 57, cedera di kepala selepas terkena serpihan siling dan atap rumah yang runtuh akibat dahan besar pokok menghempap bahagian hadapan Rumah Mesra Rakyat (RMR) miliknya.
Menurut isterinya, Juriah Keria, 55, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan berkenaan.
“Ketika itu saya bersama anak lelaki, Mohamad Raziq Zikri, 13, berada dalam bilik, manakala suami berehat di ruang tamu. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari depan rumah dan suami saya menjerit memberitahu pokok durian tumbang sambil menekup kepala kerana terkena serpihan bumbung yang runtuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Tambah Juriah, pokok durian berkenaan tumbang bersama akar akibat tiupan angin kencang, sebelum dahan besar menimpa bumbung rumah mereka sehingga mengakibatkan kerosakan teruk.
Menurutnya, beberapa peralatan rumah rosak dan air hujan membanjiri ruang tamu kerana atap berlubang dan runtuh.
“Suami saya dibawa ke Klinik Kesihatan Benta dan menerima tiga jahitan di kepala. Alhamdulillah keadaannya kini stabil. Buat masa ini, kami menumpang di rumah sepupu bersebelahan sementara menunggu kerja-kerja baik pulih dijalankan,” ujarnya.
Selain rumah Nazri, sebuah lagi rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat hempapan dahan pokok durian yang besar itu.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lipis hadir ke lokasi seawal pagi semalam bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan serta membaiki struktur atap rumah yang rosak.
Turut meninjau keadaan mangsa ialah wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak, iaitu Shaahrudin Harun yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit sebagai tanda keprihatinan. – UTUSAN