Pod Eutanasia Kini Menggunakan AI Untuk Memastikan Pengguna Waras Sebelum Diaktifkan
Effi Saharudin
Pod Sarco dilancarkan pada tahun 2024 di Switzerland yang membenarkan pengguna membunuh diri sendiri dalam keadaan terkawal. Switzerland membenarkan amalan membunuh diri atau euthanasia sekiranya seseorang itu waras dan berhadapan penyakit serius seperti kanser tahap akhir.

Sebelum ini individu yang ingin menggunakan Sarco perlu menjalani saringan psikiatri bagi memastikan mereka tidak dipaksa dan sedar apa yang ingin mereka lakukan. Kini Sarco dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) yang mengesahkan pengguna tahu apakah yang akan berlaku apabila pod diaktifkan. Jika individu disahkan waras oleh AI, mesin akan memberikan tempoh 24 jam untuk digunakan. Jika terlepas, ujian perlu diambil sekali lagi.
Sarco mengepam gas nitrogen ke dalam kebuk kedap udara. Dalam masa 30 saat, kandungan oksigen dalam udara akan turun dari 21% ke 0.05% menyebabkan individu di dalam pod mengalami hipoksia. Kematian akan berlaku dalam masa 5 minit dengan pencipta Saco mengatakan pengguna tidak akan terseksa dan mati dengan tenang.

Sacro kali pertama diperlihatkan pada tahun 2019 setelah dibangunkan selama enam tahun. Walaupun kos membina Sarco menelan belanja €650,000 (~RM 3.1 juta), pengguna hanya perlu membayar 18 Swiss Francs (~RM91) iaitu kos untuk botol nitrogen yang digunakan.






