MUKTAMAR PAS | Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima beberapa permohonan daripada parti-parti politik yang berminat untuk menyertai gabungan itu, kata timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim yang juga ahli majlis tertinggi PN berkata gabungannya sedang meneliti permohonannya.
“Sebelum Pilihan Raya (PRU) baru ini ada, setiausaha agung PN (Mohamed Azmin Ali) memberitahu ada terima permohonan.
“Ada beberapa permohonan yang menerima. Ada yang nak jadi ahli, ada yang mohon nak jadi friend of Perikatan Nasional (rakan PN). Jadi, banyak parti-parti yang mohon untuk menyertai.
“Hingga setakat ni kita akan meneliti satu-satu dalam majlis tertinggi Perikatan Nasional. Dan kami mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak untuk bersama, termasuk NGO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah, hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Malaysiakini berhubung permohonan parti-parti politik menyertai PN.
Baru-baru ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata 12 parti pembangkang bersetuju membentuk satu gabungan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang didakwa mereka gagal diselesaikan kerajaan Madani, termasuk janji reformasi.
Gabungan itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sebuah lagi organisasi yang terlibat ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi – Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Muhyiddin bagaimanapun berkata nama bagi gabungan longgar itu hanya akan diumumkan pada mesyuarat mereka yang akan datang.
Katanya, mereka akan memberi tumpuan terhadap isu-isu semasa yang utama dihadapi rakyat.
Buat masa ini, PN mempunyai empat parti komponen masing-masing, PAS, Bersatu, MIPP dan Gerakan.
Hanya MIC dijemput
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengelak menjawab satu lagi soalan Malaysiakini ketika ditanya adakah mana-mana parti komponen BN membuat permohonan rasmi.
“Itu masih rahsia lagilah. Biar dulu, sehingga kita isytihar,” katanya.
MIC kini dilihat sebagai komponen BN yang paling lantang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Baru-baru ini, empat badan perhubungan negeri MIC meluluskan resolusi supaya parti berkenaan meninggalkan BN.
Di tengah-tengah rasa tidak puas hati itu, Tuan Ibrahim, mempelawa MIC dan MCA bergabung, dengan mengambil maklum kekecewaan mereka kerana tidak mempunyai wakil dalam kerajaan.
Sebelum ini, Vigneswaran pada perhimpunan parti itu di Perak menyatakan bahawa MIC bersedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan parti dan kesejahteraan masyarakat India.
Kenyataan itu dibuat selepas Saravanan, mendakwa parti berkenaan diketepikan oleh kerajaan perpaduan.
Saravanan juga berkata bahawa MIC akan membuat keputusan penting mengenai masa depan mereka pada mesyuarat agung tahunan pada Oktober ini.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mengesahkan menjemput Pemuda MIC ke Muktamar hari ini.
“Kita jemput timbalan ketua pemuda MIC (K Kesavan) ketika berjumpa di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu baru-baru ini. Dia berjanji untuk menghadiri.
“Tapi, kami tak nampak dia. Cuma mungkin pagi ini dia terhalang untuk hadir lah. Mungkin ada orang nasihat dia, jangan hadir,” katanya.
Katanya, jemputan hanya dipanjangkan kepada MIC sahaja.
“Kami jemput MIC sahaja. Umno dan MCA tak dijemput,” katanya.
Sebelum ini, Kesavan dilaporkan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Armada Bersatu di Shah Alam, yang turut mendapat perhatian Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi. Zahid menuntut MIC memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.