Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menolak dakwaan bahawa gabungan itu sedang menubuhkan sebuah majlis eksekutif, yang dikhabarkan akan wujud bersama majlis tertingginya dan akan diketuai oleh timbalannya Hamzah Zainudin.
Dalam temu bual malam tadi, Muhyiddin mengesahkan ada cadangan sedemikian tetapi menegaskan PN tidak boleh mempunyai dua badan kepimpinan yang mentadbir gabungan itu.
“Majlis tertinggi masih kekal. Jadi soal majlis eksekutif tak berbangkit. Dia takkan ada majlis eksekutif dan majlis tertinggi. Tak boleh.
“Pasal walaupun ada cadangan, nampaknya tak ada perubahan. Kekallah dengan kedudukan majlis tertinggi di mana semua presiden parti duduk bersama-sama,” kata Muhyiddin dalam wawancara dengan portal berita Malaysia Gazette, yang disiarkan secara langsung di YouTube.
Bekas perdana menteri dan presiden Bersatu itu menjawab soalan berhubung khabar angin perpecahan dalaman PN, di mana Hamzah didakwa membuat langkah untuk menggulingkan Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun menolak dakwaan bahawa Hamzah yang mencadangkan majlis eksekutif itu.
“Itu tidak betul,” katanya.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata gabungan itu bersetuju dengan cadangan daripada PAS untuk membentuk majlis presiden, yang bertujuan mengukuhkan PN.
Menurut Muhyiddin, majlis presiden akan dianggap sebagai titik rujukan terakhir untuk menyelesaikan isu dalam gabungan itu.
Ini termasuk pertikaian seperti perebutan antara parti komponen mengenai peruntukan kerusi semasa pilihan raya.
“Bila rundingan kursi, maklumlah tiap-tiap parti tak nak bagi sama-mana. Lepas itu tak apalah, ada beberapa kita tinggal tiga, empat kerusi (yang belum selesai rundingan). Ini kita serahkan kepada empat presiden putuskan,” katanya.
Pada Jun, Malaysiakini melaporkan bahawa PAS telah mencadangkan untuk penstrukturan semula PN dengan tujuan memberikan kuasa operasi yang besar kepada Hamzah, yang merupakan ketua pembangkang.
Di bawah cadangan perubahan itu, sebuah jawatankuasa eksekutif yang diterajui oleh Hamzah akan dibentuk untuk mengawasi operasi PN, manakala presiden PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia akan mengekalkan peranan mereka dalam majlis tertinggi sedia ada.
Menurut sumber, langkah itu direka untuk meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri PN, bersedia untuk mengambil tampuk kuasa jika gabungan itu menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kemudiannya menolak laporan bahawa PN sedang disusun semula untuk memberi lebih kuasa kepada Hamzah.
Menurut ahli parlimen Kota Bharu itu, sebagai sebuah gabungan berdaftar, PN tertakluk kepada perlembagaannya.
Dia juga mendakwa perkara itu digembar-gemburkan untuk mengganggu kestabilan PN.