Malaysia Oversight

PN kecam Speaker sebab ‘menghendap’, kata menteri ‘suara seksi’

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
PN kecam Speaker sebab ‘menghendap’, kata menteri ‘suara seksi’


PN sedang menimbang untuk mengambil tindakan terhadap Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung dakwaan mengintip menggunakan “kamera dan mikrofon tersembunyi” di Dewan Rakyat.

Bercakap pada sidang media mingguan pembangkang di Parlimen, ketua whip pembangkang Takiyuddin Hassan merujuk kenyataan Johari pada Isnin lalu ketika membuat keputusan untuk menggantung Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim selama 10 hari berdasarkan “bukti” yang diperoleh melalui peranti tersebut.

“Dia (Johari) mengatakan ‘jangan main-main. Saya letakkan kamera tersembunyi dan juga mikrofon tersembunyi yang tidak mute‘. Saya tahu apa saja yang berlaku dalam ini’,” kata Takiyuddin memetik Johari.

“Jadi ini bagi kami ini bercanggah dengan peraturan yang ada. Dan ia terjumlah kepada satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 507A (Kanun Keseksaan) – menghendap.

“…Ini dibuat oleh Speaker, malangnya,” kata Takiyuddin yang juga seorang peguam.

Dia turut membangkitkan kenyataan berasingan oleh Johari yang didakwanya bersifat “seksis” semasa ucapan penggulungan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, semalam.

Menurut hansard Parlimen, Johari menjawab permintaan Ahli Parlimen Kuala Krau Kamal Ashaari yang memintanya supaya meminta Fadhlina bercakap lebih dekat dengan mikrofon.

“Ya menteri, tolong tarik mikrofin dekat mulut sikit. Dia tak berapa dengar. Bila jauh tu, dengar seksi sangat. Dekat sikit,” kata Johari disambut ketawa, menurut hansard. 

Fadhlina kemudian menjawab: “Tuan Speaker, suami saya tengok live ini.”

Hari ini, Takiyuddin memetik Peraturan Mesyuarat 36(4), yang menurutnya sebelum ini digunakan untuk menghukum ahli parlimen yang membuat kenyataan “seksis” atau dianggap menghina.

“Jadi kita akan pertimbang perkara ini. Mungkin kita akan buat sesuatu tindakan, mungkin esok kita akan bincang perkara ini,” katanya lagi.

Setiausaha Agung itu turut merujuk insiden pada 2020 yang menyebabkan Anggota Parlimen Baling ketika itu, Azeez Abdul Rahim diarahkan memohon maaf kepada Anggota Parlimen Batu Kawan ketika itu, Kasthuri Patto.

Speaker ketika itu, Azhar Azizan Harun menggunakan peraturan mesyuarat untuk memutuskan kenyataan Azeez yang menyebut “gelap” terhadap Kasthuri sebagai menghina.



Source link