PN mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata jika benar dakwaan Rafizi bahawa serangan itu merupakan amaran supaya dia tidak bersuara lantang dalam beberapa isu, ia menandakan satu perkembangan gelap dalam landskap politik negara.
“Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.
“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman dan keganasan fizikal, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.
Justeru, katanya, PN menzahirkan sokongan moral sepenuhnya kepada Rafizi dan keluarganya dalam menghadapi saat sukar ini.
“Kami juga mendoakan agar anak beliau berada dalam keadaan baik dan pulih sepenuhnya daripada sebarang kesan dan trauma tersebut. Mudah-mudahan seluruh keluarga beliau diberikan ketabahan serta perlindungan oleh Allah SWT,” katanya.
Semalam, anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun ditarik oleh dua penyerang dan disuntik dengan jarum suntikan ketika ahli parlimen itu, isterinya dan kanak-kanak tersebut sedang menuju ke kereta mereka.
Rafizi berkata serangan dilakukan oleh dua individu berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar penuh.
Dalam pada itu, Takiyuddin menggesa pihak polis agar menyiasat kejadian itu dengan kadar segera, telus dan menyeluruh.
“Pelaku jenayah ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai isyarat jelas bahawa sebarang bentuk keganasan, terutama terhadap kanak-kanak tidak mempunyai tempat di Malaysia.
“PN juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertenang dan matang dalam menghadapi isu ini.
“Rakyat jangan sesekali terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi dan andaian yang mungkin sengaja dicetuskan untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata serangan tersebut mengingatkannya kepada keganasan semasa zaman komunis dahulu.
“Pada waktu itu, anggota keselamatan dan pegawai pentadbir, bahkan ahli keluarga mereka turut dijadikan sasaran serangan.
“Sejarah telah membuktikan bahawa pendekatan kejam sebegini tidak membawa apa-apa kebaikan, sebaliknya hanya menanam benih ketakutan dan kebencian dalam masyarakat,” katanya.