PN mendakwa tiada kaitan dengan saman pemula dikemukakan bekas menteri P Waythamoorthy yang mendakwa status Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen dan Perdana Menteri tidak sah.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata tindakan Waythamoorthy adalah bersifat peribadi atas kapasitinya sebagai rakyat Malaysia.
“Apabila seseorang itu diampun (oleh Yang di-Pertuan Agong) ada satu kekangan disqualification beliau tidak boleh bertanding sebagai ahli Dewan Rakyat selama lima tahun kecuali ianya dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Yang saya nak sebutnya PN tak terlibat, itu kes peribadi Waythamoorthy.
“Sebagai rakyat Malaysia kita hormati dia punyai hak untuk bawa itu (saman pemula),” katanya dalam sidang media bersama ahli Parlimen pembangkang di Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Waythamoorthy memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai ahli parlimen dan perdana menteri tidak sah di sisi perlembagaan.
Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, Waytha memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah perkara yang melibatkan salah nyata dan tindakan mengelirukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (pada ketika itu) dalam pelantikan defendan sebagai perdana menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah keadaan yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini di negara kita, apabila keputusan Seri Paduka Baginda diperoleh berdasarkan kelayakan palsu atau salah nyata, sekali gus menjejaskan peranan Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” dakwanya pada sidang media.
Semalam, Waythamoorthy mencabar Anwar supaya mendedahkan sepenuhnya dokumen petisyen pengampunan diraja dalam tempoh 24 jam.
Katanya, pendedahan sedemikian membolehkan rakyat Malaysia mengetahui dengan tepat apa yang dimohon perdana menteri daripada Agong.