Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, hari ini mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataannya mengenai Dr Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh.
Takiyuddin berkata dia sudah mengemukakan usul kepada Johari Abdul mengenai permintaannya itu sambil menegaskan bahawa Speaker Dewan Rakyat “tiada alasan yang munasabah” untuk menolaknya.
Ketika bercakap pada sidang media di parlimen hari ini, Takiyuddin mendakwa, Anwar sudah mengelirukan Dewan Rakyat kelmarin kerana kuasa untuk memulakan atau menggugurkan pertuduhan terhadap seseorang dipegang oleh peguam negara (AG), bukan perdana menteri.
“Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara mesti mempunyai kuasa untuk – mengikut budi bicaranya – memulakan, menjalankan, atau menghentikan prosiding undang-undang bagi sebarang kesalahan.
“Bagaimanakah kuasa perdana menteri untuk menuduh atau mendakwa sesiapa?
“Adakah ini pengesahan daripada perdana menteri mengenai campur tangan beliau dalam hal ehwal undang-undang?” tanya Takiyuddin yang juga merupakan bekas menteri undang-undang.
Pada Selasa lalu Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kabinet memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh kerana sudah berusia 100 tahun walaupun mengakui bekas perdana menteri itu “bersalah”.
Dalam ucapannya itu juga Anwar secara khusus menggelar Takiyuddin sebagai tokoh pembangkang yang akan menuduh kerajaan tidak adil sama ada menuduh atau tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Mahathir.
Ia mengundang reaksi Mahathir apabila semalam dia mencabar Anwar dan kerajaan mendakwanya di mahkamah bagi membolehkan isu tersebut diadili secara terbuka, selain menolak sebarang “imuniti”.
Mahathir, 100, juga menegaskan hanya orang yang bersalah memerlukan imuniti.