KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan pasukan kepimpinan negara diperkasakan dengan tokoh-tokoh yang benar-benar berkaliber, berintegriti dan mempunyai rekod perjuangan yang konsisten.
Timbalan Pengerusi Persatuan Integrasi Madani Malaysia (AMIM), Abdullah Hakim Ahmad berpandangan, tokoh politik PKR, Ahmad Nizam Hamid antara pejuang reformis yang wajar dipertimbangkan untuk membantu memperkukuh pelaksanaan agenda reformasi selain berpengalaman luas dalam dunia undang-undang.
Menurutnya, Ahmad Nizam merupakan peguam berpengalaman, pejuang tegar reformasi sejak awal penubuhan PKR dan turut memainkan peranan penting di belakang tabir dalam memastikan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang memulihkan kestabilan politik negara.
“Selain ketokohan dan komitmen terhadap agenda reformasi, rekod integriti dan prinsip beliau jelas kekal bersih tanpa dikaitkan dengan sebarang skandal atau rasuah. Ciri ini sangat penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dan memastikan agenda perubahan dapat dilaksanakan tanpa kompromi.
“Saya percaya dengan pengalaman, kepakaran undang-undang dan keteguhan moral yang beliau miliki dalam menyumbang secara signifikan kepada pentadbiran negara, sama ada sebagai anggota Kabinet ataupun penasihat khususnya dalam memberi peluang beliau menyumbang dan bersama-sama dalam memastikan agenda yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdullah Hakim yang juga peguam berkata, negara memerlukan kepimpinan yang cekap, bersih dan berani.
“Dengan menampilkan sosok seperti Ahmad Nizam dalam struktur pentadbiran, ia akan memberikan nilai tambah kepada usaha PMX untuk membawa pembaharuan sebenar kepada negara,” katanya. – UTUSAN






