Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, mengkritik pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Zaid berkata Anwar tidak sepatutnya mempamerkan kuasa dengan cara yang memberi gambaran seolah-olah dia mempunyai autoriti terhadap badan kehakiman.
Dia mengingatkan bahawa hubungan antara ketua badan kehakiman dan pihak eksekutif perlu diminimumkan dan terhad dalam majlis rasmi semata-mata bagi mengelakkan persepsi wujudnya pengaruh politik.
“Dalam suasana politik yang sarat dengan polemik, ia boleh menimbulkan syak bahawa badan kehakiman sedang ‘diperingatkan’ secara halus tentang kehendak PM.
“PMX sendiri terlibat secara langsung dengan beberapa kes mahkamah yang sedang berjalan. Mempamerkan pertemuan itu, dengan PMX memberi nasihat moral kepada Ketua Hakim, boleh menimbulkan persepsi bahawa pihak eksekutif sedang menunjukkan autoriti moral terhadap badan kehakiman,” katanya semalam di X.
Menurut Zaid tidak pernah berlaku ketua hakim negara yang baru dilantik mengadakan kunjungan hormat atau pertemuan dengan perdana menteri, sama ada di Malaysia mahupun di negara-negara Komanwel lain.

Katanya, walaupun pertemuan berlaku bagi urusan pentadbiran, ia biasanya dilakukan secara tertutup dan tidak pernah digambarkan sebagai majlis di mana perdana menteri memberi nasihat tentang integriti atau kebijaksanaan kepada ketua hakim.
“Saya menyalahkan PM kerana tidak melindungi imej Ketua Hakim yang baru dinaikkan pangkat; lebih-lebih lagi apabila pelantikan Wan Farid sendiri sarat dengan isu dan dianggap luar kebiasaan dari pelbagai sudut.
“PMX tidak sepatutnya mempamerkan kuasanya dengan cara begini melainkan beliau mahu menghantar mesej kepada para hakim bahawa beliaulah ‘ketua’,” tegasnya.
Awal minggu ini, Anwar menerima kunjungan hormat Wan Ahmad Farid di pejabat perdana menteri.
Anwar memaklumkan bahawa pertemuan itu menumpukan usaha memperkukuh badan kehakiman yang berteraskan kebebasan dan integriti, serta menguatkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut sebagai tonggak kepada kedaulatan undang-undang yang adil dan saksama.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar turut mengucapkan tahniah dan berharap Ketua Hakim Negara yang baru akan melaksanakan amanah dengan penuh kebijaksanaan dan integriti demi mencapai Malaysia yang lebih adil dan progresif.
Pada 18 Julai lalu, Wan Ahmad Farid diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara yang baru bagi menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai.
Pelantikannya sebelum ini mendapat perhatian memandangkan Wan Ahmad Farid merupakan bekas pemimpin Umno.
Dalam ucapan sulungnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Ogos, Wan Ahmad Farid berikrar akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Sebelum berkhidmat dalam badan kehakiman, Wan Ahmad Farid pernah menjawat jawatan timbalan menteri dalam negeri dari Mac 2008 hingga April 2009 ketika pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, serta pernah menjadi ketua bahagian Umno Kuala Terengganu pada 2008.
Dia juga pernah dicalonkan bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2009 ketika Najib Razak menjadi perdana menteri.
Antara keputusan penting dibuat olehnya ialah menarik diri daripada mendengar permohonan untuk membenarkan seorang Queen’s Counsel (QC) dari UK mewakili Najib dalam rayuan kes rasuah RM42 juta dana SRC International.
Dia berkata wujud konflik kepentingan kerana seorang ahli keluarganya mempunyai kaitan dengan parti Najib.