Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak memerlukan persetujuan jemaah menteri untuk mengeluarkan arahan agar agensi dan jabatan kerajaan tidak lagi menggunakan istilah “kuil haram”, kata Timbalan Presiden MIC M Saravanan.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, kegagalan mesyuarat kabinet semalam untuk menyentuh isu berkenaan bukan satu masalah besar, kerana dia sudah membawa perkara itu terus kepada perhatian perdana menteri.
“Secara peribadi saya sudah sampaikan kepada perdana menteri termasuk hantar surat kepada perdana menteri.
“Tak perlu bincang di peringkat kabinet, perdana menteri boleh buat keputusan, arahkan KSN (ketua setiausaha negara) maklum kepada agensi berkaitan dalam soal ini,” katanya kepada media malam tadi ketika ditemui di sebuah program kempen BN untuk PRK Ayer Kuning.

Semalam, jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan mesyuarat kabinet tidak menyentuh cadangan Saravanan yang menggesa larangan penggunaan istilah “kuil haram” oleh kerajaan.
Pada Isnin lalu, Saravanan membuat rayuan kepada Anwar agar mengeluarkan arahan itu, susulan tindakan pengurusan Hospital Taiping menggunakan istilah tersebut dalam surat maklum balas berhubung satu aduan berkaitan rumah ibadat di kawasan hospital.
Saravanan membantah keras penggunaan frasa itu dalam tajuk surat rasmi berkenaan dan menegaskan banyak kuil berkenaan telah wujud selama beberapa dekad malah ada yang mendahului penggubalan Kanun Tanah Negara 1965.
Istilah ‘kuil haram’ tidak sensitif
Jelas Saravanan lagi, melabel rumah ibadat seperti kuil sebagai “haram” satu tindakan yang tidak sensitif dan mengabaikan kepentingan sejarah serta nilai kebudayaan tempat-tempat ibadat berkenaan.
Isu kewujudan kuil-kuil lama kembali mendapat perhatian umum susulan kontroversi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dilaporkan berusia 130 tahun di ibu negara, bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid baharu.
Pemindahan tersebut mencetuskan reaksi berbelah bahagi dalam kalangan warga maya termasuk perdebatan berterusan mengenai status undang-undang kuil-kuil Hindu di Malaysia.
[Baca berita asal]