Malaysia Oversight

PM lulus RM10 juta peruntukan segera mangsa banjir Sabah

By MkiniBM in September 15, 2025 – Reading time 2 minute
PM lulus RM10 juta peruntukan segera mangsa banjir Sabah


Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa terjejas banjir di Sabah.

Beliau berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.

“Saya sangat terkesan akan dampak bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah saat ini.

“Saya telah mengarahkan seluruh jentera MADANI digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” menurut beliau dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa seluruh jentera MADANI digerakkan bagi memastikan setiap keluarga yang terkesan dengan bencana itu segera menerima bantuan.

“Saya menyeru semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.

“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya.

Seramai 415 mangsa banjir daripada 113 keluarga berada di dua pusat pemindahan sementara dan sebuah pusat pemindahan kekal di Sabah setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perkongsian di Facebook berkata fokus utama kerajaan adalah memastikan keselamatan nyawa, kebajikan keluarga yang terjejas dan pemulihan pantas kemudahan asas.

Beliau turut menyeru rakyat di kawasan terlibat banjir khususnya di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Johor dan Labuan yang kini berada di bawah amaran ribut petir daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) agar sentiasa berhati-hati dan memantau keadaan cuaca semasa.

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku dengan intensiti tinggi dan jangka masa singkat. Utamakan keselamatan, elakkan kawasan berisiko dan patuhi arahan pihak berkuasa,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu.

– Bernama



Source link