SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM67 juta setakat ini bagi membiayai pelbagai bentuk projek kecil dan infrastruktur awam di Selangor tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan peruntukan itu merangkumi empat jenis projek iaitu Projek Mesra Rakyat dengan siling RM44 juta dan Projek Infrastruktur Awam/Asas Rakyat (PINTAR) dengan siling peruntukan RM4.5 juta.
Dua lagi projek ialah Projek Infrastruktur MADANI (PRISMA) dan PRISMA MOF dengan siling peruntukan masing-masing sebanyak RM6.5 juta dan RM12 juta.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Serah Surat Tawaran Kerja Indent di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.
Amirudin menjelaskan pelaksanaan kesemua projek itu adalah bagi melengkapkan projek Rancangan Pembangunan Lima Tahun di samping meningkatkan imej kerajaan.
Ia juga bertujuan untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas serta menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat.
Bagi tujuan pelaksanaan projek-projek ini, terdapat beberapa kaedah perolehan kepada kontraktor yang dibenarkan.
Kaedah tersebut ialah secara sebut harga, undi dan lantikan terus mengikut had nilai masing-masing berdasarkan Pekeliling Perolehan Kerajaan.
Dalam majlis sama, Amirudin turut mengagihkan sumbangan berupa sebuah komputer riba dan sijil penghargaan kepada 22 pelajar cemerlang SPM 2024.
Sumbangan juga diberikan kepada seorang pelajar STPM 2024 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.00.
Beliau berkata sumbangan menerusi Program Sejahtera MADANI-Pendidikan itu merupakan inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Amirudin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan cemerlang dalam peperiksaan mereka.
Beliau berharap sumbangan ini memberi manfaat kepada semua dan menjadi dorongan untuk lebih maju pada masa hadapan. – Bernama