Pendedahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa agensi itu akan mendapatkan kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berhubung satu video TikTok berkaitan dakwaan dia menyokong subsidi minyak diberikan kepada warga asing, telah menimbulkan persoalan penting:
Adakah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah tertipu dengan maklumat palsu daripada video TikTok?
Anwar pada Selasa di parlimen mendakwa Muhyiddin menyokong pemberian subsidi bahan api diberikan kepada warga asing atas alasan mereka juga menyumbang kepada negara.
Dia turut menegur seorang ahli parlimen pembangkang kerana tidak mengetahui mengenai kenyataan Pengerusi PN itu.

Namun, Muhyiddin menafikan dakwaan tersebut sebelum Anwar kemudiannya mengarahkan MCMC menjalankan siasatan.
Semakan awal Malaysiakini tidak menemui sebarang rekod kenyataan seperti itu daripada Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat satu video TikTok yang mendakwa Muhyiddin membuat kenyataan sedemikian.
Video yang dimuat naik pada 23 Julai oleh akaun TikTok Omgmymedia itu memaparkan seolah-olah satu keratan artikel dengan tajuk “Warga asing berhak dapat subsidi. Kenapa Anwar nak tarik? Mereka tinggal di Malaysia bukan negara asing.”
Video itu juga mengandungi kapsyen yang memberikan gambaran ia merupakan kenyataan daripada Muhyiddin, yang mengatakan warga asing juga menyumbang kepada ekonomi.
Keratan berita dalam video tersebut tidak menyatakan ia daripada media mana, dan semakan Malaysiakini tidak menemui sebarang artikel dengan tajuk tersebut.
Cara penyampaian maklumat dalam video itu adalah serupa dengan gaya penyebaran tajuk palsu di media sosial.
Video dan akaun TikTok tersebut kini telah dipadam, namun ia telah dikongsi oleh akaun lain termasuk di platform media sosial lain.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, pada malam Selasa lalu mempersoalkan apakah Anwar mendapat maklumat dari sumber palsu.

Fadhli turut mengatakan akaun TikTok itu sering menyebarkan maklumat palsu mengenai PN.
“Sekiranya PMX merujuk kepada video ini, amatlah malang kepada beliau kerana mempunyai pasukan media yang tidak cermat.
“Seharusnya seorang perdana menteri wajib mempunyai maklumat yang tepat dan benar sebelum masuk ke Dewan Rakyat.
“Peruntukan untuk pejabat perdana menteri bukan sedikit, pegawai-pegawai yang ada di sekeliling takkanlah tak boleh bantu,” katanya.