Himpunan Turun Anwar yang berlangsung Sabtu lalu tiada kaitan dengan strategi musuh Islam, kata Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa realiti itu lebih jelas apabila tuduhan mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan musuh Islam itu sendiri datang daripada sebuah parti yang dikaitkan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), George Soros, dan organisasi liberal dunia.
Menurut Tun Faisal, himpunan Turun Anwar adalah luahan suara rakyat terhadap “kegagalan” dan “kezaliman” Anwar.
“Pertama, himpunan Turun Anwar adalah luahan suara dan tunjuk rasa rakyat mengenai kegagalan, kezaliman, penipuan, hipokrasi, kemunafikan Anwar.
“Kedua, Anwar tidak pernah dikenali sebagai pemimpin Islam sebaliknya pemimpin liberal. Imej Anwar tidak sama seperti imej Dr Mahathir Mohamad, Najib Razak dan Abdul Hadi Awang yang lebih dilihat sebagai wajah pemimpin Islam yang sentiasa bersuara untuk negara-negara Islam yang ditindas dan tidak pro-Barat,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, mendakwa perhimpunan yang diadakan pada 26 Julai lalu itu mungkin sebahagian strategi musuh Islam untuk melemahkan kepimpinan perdana menteri di peringkat antarabangsa.
Amidi berkata, jika diteliti dari segi masa dan naratif yang dimainkan, demonstrasi tersebut tidak sekadar bersifat domestik.
“Jika dilihat kepada timing demonstrasi, ia kelihatan serba tak kena jika kita hanya memandang ke dalam (domestik).
“Memang ada yang bingung kenapa Anwar mesti diturunkan,” katanya dalam kenyataan.
Tun Faisal secara sinis berkata, sikap yang ditunjukkan Amidi aneh, malah dia mungkin keliru sehingga mengata pada parti dan pemimpinnya sendiri.
“Agak ironi apabila dakwaan himpunan Turun Anwar ini agenda musuh Islam datang daripada pemimpin sebuah parti yang selama ini dikaitkan dengan dana NED, CIA, Soros, organisasi seperti Liberal International, dan membawa agenda liberalisme, sekularisme dan pluralisme dalam ucapan-ucapan pemimpinnya.
“Malah mereka terlibat menganjurkan perhimpunan demi perhimpunan untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin Islam Malaysia yang lebih berimejkan Islam sebelum ini.
“Amidi mungkin keliru dan hendak mengata kepada parti dan pemimpin dia sendiri, bukan kepada peserta himpunan Turun Anwar,” katanya lagi.