Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026 di parlimen petang ini.
Ikuti laporan pembentangan belanjawan secara langsung oleh Malaysiakini.
PM akhiri ucapan bajet dengan solidariti Palestin
6 petang – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakhiri ucapan belanjawannya dengan menyuarakan solidariti dengan rakyat Palestin dan memuji peranan AS, Mesir, dan Qatar dalam rundingan untuk perdamaian antara Hamas dan Israel.
Gaji hakim naik hingga 30 peratus, bonus RM500 untuk penjawat awam
5.58 petang – Kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim sehingga 30 peratus, berkuat kuasa 1 Jan tahun depan. Pelarasan gaji terakhir adalah pada 2015, dan hakim tidak menerima kenaikan tahunan seperti skim lain.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata badan kehakiman, yang pernah dilihat sebagai telah tercalar, kini telah pulih semula dengan integriti, kredibiliti dan kebebasan yang lebih tinggi.
Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Memastikan BM diajar di sekolah antarabangsa
5.57 petang – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sekolah antarabangsa cuai dalam pengajaran Bahasa Malaysia.
Dia berkata kerajaan akan menjalankan pemantauan yang serius bagi memastikan pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa, khususnya, akan diajar bahasa kebangsaan.
Membina pusat perpaduan, insentif filem kenegaraan
5.55 petang – RM55 juta akan diperuntukkan untuk program perpaduan dan identiti nasional, seperti minggu perpaduan.
RM46 juta juga diperuntukkan untuk membina tiga pusat aktiviti “perpaduan” baru di Terengganu, Perak dan Sarawak.
Sementara itu, kerajaan juga memperuntukkan RM110 juta sebagai insentif kepada pembikin filem tempatan dan antarabangsa untuk membuat filem di Malaysia.
Ini termasuk RM10 juta yang diperuntukkan khusus untuk filem “kenegaraan”.
Pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama
5.51 petang – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pindah milik dan pinjaman untuk pembelian rumah pertama untuk dua tahun lagi, sehingga 21 Dis 2027.
Ini melibatkan pembeli rumah kali pertama membeli rumah pertama mereka berharga sehingga RM500,000.
Peruntukan Kementerian Pendidikan meningkat kepada RM66.2b
5.44 petang – Tahun depan, Kementerian Pendidikan akan menerima RM66.2 bilion, berbanding RM64.2 bilion tahun ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata RM2 bilion telah diperuntukkan untuk menaik taraf lebih 520 sekolah usang, khususnya di Sabah dan Sarawak, selain membaiki dan menyelenggara semua jenis sekolah.
Anwar mengumumkan sebanyak 38 sekolah baru akan dibina bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Selain itu, sekolah Tamil Ladang Jeram di Pahang dan sekolah Cina Aik Hua di Perak juga akan dibina semula.

PTPTN: Pendidikan percuma warga miskin, senarai hitam peminjam bekerja di luar negara
5.42 petang: Pelajar daripada keluarga miskin berpendapatan kurang daripada RM2,700 sebulan akan layak mendapat pendidikan tinggi percuma yang dibiayai oleh PTPTN.
Sementara itu, peminjam PTPTN daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang lulus dengan kepujian kelas pertama dalam program ijazah juga akan dilupuskan hutang mereka.
Bagi peminjam yang bekerja di luar negara, kerajaan akan mengenakan semula senarai hitam perjalanan antarabangsa.

Insentif lupus kereta lama
5.41 petang – Jika kereta anda berumur sekurang-kurangnya 20 tahun, kerajaan dan pembuat kereta nasional akan memberikan geran padanan RM4,000 untuk anda melupuskan kereta dan membeli kereta nasional baru.
Pelajar OKU mendapat elaun bulanan RM150
5.40 petang – Semua pelajar sekolah OKU akan mendapat elaun RM150 sebulan.
Bantuan am persekolahan untuk pelajar miskin juga diperluaskan untuk menampung pelajar sehingga Tingkatan 5.
Pelepasan cukai, pengecualian untuk galakkan perlindungan insurans
5.37 petang – Bagi menggalakkan perlindungan insurans atau takaful di kalangan rakyat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mencadangkan perkara berikut:
Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 3,000 ringgit yang diberikan ke atas bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful nyawa untuk diri dan pasangan, diperluas bagi meliputi anak.
Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas polisi insurans atau sijil takaful bernilai kecil yang dibeli oleh individu dan PMKS dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028.
Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas polisi insurans dan sijil takaful bagi produk Perlindungan Tenang turut dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028.
Anwar berkata untuk menggalakkan hospital swasta membantu pesakit kurang berkemampuan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, hospital swasta akan dibenarkan menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital.
“Pendapatan yang diterima oleh dana ini akan dikecualikan daripada cukai, dan penyumbang kepada dana juga akan layak untuk potongan cukai,” tambahnya.

Harga arak, rokok akan naik
5.35 petang – Minuman keras dan rokok akan lebih mahal.
Mulai 1 Nov tahun ini, duti eksais ke atas alkohol akan meningkat 10 peratus.
Manakala rokok pula akan berharga 2 sen lebih sebatang.
Cerut, cheeroots, dan cigarillo akan naik sebanyak RM40 sekilogram, manakala produk heated tobacco berharga RM20 lebih sekilogram tembakau.
Anwar berkata kenaikan itu akan membantu membiayai inisiatif kesihatan seperti rawatan diabetes dan penyakit jantung.

Elaun tugas atas panggilan tetap naik 40 peratus
5.32 petang – Elaun tugas atas panggilan tetap (Etap) untuk pekerja kesihatan awam akan meningkat sekitar 40 peratus, berkuat kuasa 1 Okt.
Anwar memberi contoh bagaimana doktor pakar yang bertugas atas panggilan pada hari cuti akan menerima RM350 dan bukannya RM250.

Peruntukan Kementerian Kesihatan meningkat kepada RM46.5b
5.30 petang – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa RM46.5 bilion akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, meningkat daripada RM45.3 bilion.
Dia menegaskan kerajaan terus komited untuk menangani enam cabaran utama dalam sektor kesihatan, termasuk meningkatkan kualiti infrastruktur penjagaan kesihatan awam.
“Semua hospital dan klinik kerajaan akan diselenggara dan baik pulih melibatkan peruntukan RM1.2 bilion. Wad-wad hospital daerah seluruh negara turut dinaik taraf (RM100 juta).
“Peralatan perubatan lapuk akan diganti selain memperoleh peralatan canggih untuk disiplin baharu (RM755 juta),” tambahnya.

Caruman KWSP pekerja gig, e-hailing dinaikkan
5.25 petang – Skim caruman padanan KWSP untuk caruman sukarela oleh pekerja gig dan pekerja e-hailing dinaikkan kepada RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup.
Kadar pekerja tidak formal dikekalkan pada RM500 setahun dan RM5,000 seumur hidup.
Rakyat Malaysia terima RM100 lagi tahun depan
5.21 petang – Kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) pada 2026 adalah sama seperti tahun ini.
Bagaimanapun, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan sekali lagi memberi bantuan Sara RM100 kepada semua rakyat Malaysia dewasa tahun depan.
“Ini akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Anwar petik Thirukurral, umum STR awal untuk Deepavali
5.18 petang: Sempena sambutan Deepavali, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran STR Fasa 4 yang dijadualkan pada November dan berjumlah RM2 bilion, akan diawalkanj dan dibayar mulai 18 Oktober.

Tambahnya, kerajaan juga telah meluluskan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena musim perayaan Deepavali.
Memetik ayat daripada teks Tamil klasik Thirukurral, perdana menteri berkata, “Susah dan senang silih berganti, namun keteguhan hati nurani adalah mercu tertinggi kemuliaan insan.”
Pelepasan cukai RM3,000 untuk taska akan diperluaskan
5.15 petang: Kerajaan bercadang pelepasan cukai pendapatan individu 3,000 ringgit ke atas perbelanjaan yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak yang berumur sehingga 6 tahun diperluas kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak yang berumur sehingga 12 tahun berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026.

Peruntukan RM80 juta untuk renjer hutan
5.08 petang: Kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk 2,500 renjer komuniti bagi melindungi hutan dan haiwan terancam.
Renjer berkenaan akan merangkumi 1,000 Orang Asli dan 700 veteran angkatan tentera.
Peruntukan pertahanan: Anwar petik falsafah Cina
5.03 petang: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memetik falsafah Cina kuno dalam bahasa Mandarin dan Bahasa Malaysia yang mengingatkan kebijaksanaan pemerintahan menuntut kesiapsiagaan.
“Falsafah besar dari karya sejarah agung dalam Catatan Musim Bunga dan Luruh berjudul Zuo Zhuan mengingatkan kita betapa kebijaksanaan pemerintahan menuntut kesiapsiagaan, bukan kealpaan; dan bahawa kestabilan hanya teguh apabila disertai keinsafan akan rapuhnya nasib bangsa sekiranya leka dan alpa,” katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, Kementerian Pertahanan telah diperuntukkan RM21.7 bilion manakala Kementerian Dalam Negeri menerima RM21.2 bilion ringgit.
Bagi perolehan baru, perdana menteri berkata ia termasuk medium, short dan very short range air defence, dua buah Multi role support ship; dan 10 kenderaan MALBATT.
4.57 petang – Kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk pemberian rebat bagi pembelian kelengkapan jenis cekap tenaga.
Kerajaan juga bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak 2,500 ringgit diperluas untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan bagi menggalakkan gaya hidup lestari.
4.52 petang: MCMC akan membina “Sovereign AI Cloud” dengan pelaburan RM2 bilion.
Katanya, bagi menuju status Negara AI menjelang 2030, Malaysia akan terus menerajui bidang AI serta menyubur aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta (RDCI).
Bagi industri kecil dan sederhana, kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus untuk latihan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh
MyMahir National AI Council for Industry (NAICI).

Pelepasan cukai RM1,000 untuk galakkan pelancongan dalam negara
4.50 petang: Anwar berkata bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 1,000 ringgit diberikan atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
Cadangan gubal RUU TVET
4.43 petang: Anwar berkata lebih ramai bakat tempatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperlukan untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang pesat.
Oleh itu, katanya, Majlis TVET Negara akan memperkukuh ekosistem TVET dengan lebih menyeluruh, termasuk cadangan penggubalan RUU TVET.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata peruntukan untuk TVET akan meningkat kepada RM7.9 bilion, berbanding RM7.5 bilion sebelum ini.
Peluang pendidikan dan latihan TVET akan dipertingkatkan, terutamanya untuk menyokong sektor keutamaan tinggi, tambahnya.
RM10 juta pemetaan nadir bumi
4.36 petang: Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk pemetaan nadir bumi di negara ini.
Perdana Menteri berkata tumpuan akan diberikan kepada pembangunan industri hiliran termasuk melalui perkongsian antarabangsa yang diterajui oleh Khazanah.
Potongan cukai untuk program pencegahan rasuah
4.29 petang: Anwar berkata kerajaan bercadang program pencegahan rasuah anjuran pertubuhan masyarakat sivil yang diiktiraf SPRM diluluskan potongan cukai sebagai projek berkepentingan nasional.
“Penderma yang membuat sumbangan tunai kepada program pencegahan rasuah diluluskan juga layak mendapat potongan cukai pendapatan,“ katanya.
Penyasaran subsidi jimatkan RM15.5 bilion
4.25 petang: Anwar berkata keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion ringgit setahun
Menurutnya, pelaksanaan Budi95 akan menjimatkan RM2.5 bilion, manakala rasionalisasi subsidi diese menjimatkan RM5 bilion.
Rasionalisasi subsidi elektrik pula, akan menjimatkan RM6 bilion setiap tahun.

Elemen Lemon Law
4.22 petang: Anwar berkata setelah penggubalan Akta Kredit Pengguna, kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas.
Pengecualian cukai kenderaan di Langkawi, Labuan
4.20 petang: Anwar berkata terdapat pemilik kenderaan mewah yang telah lama mengambil kesempatan daripada pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan.
Bagi menangani ketirisan ini, katanya, kerajaan bercadang mengehadkan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan kepada kenderaan bernilai tidak melebihi RM300,000, berkuat kuasa 1 Jan 2026.
RM15.5 bilion diperoleh semula
4.15 petang: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata di bawah pentadbiran kerajaan Madani, badan penguatkuasa seperti SPRM, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam (JKDM), dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah berjaya mendapatkan semula dan mengutip penalti berjumlah hampir RM15.5 bilion.
Terbaru, katanya, PDRM berjaya membongkar sindiket haram terancang yang beroperasi di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.
Belanjawan 2026 berjumlah RM419.2 bilion
4.00 petang: Anwar mula membentang belanjawan. Jumlah ini lebih kecil berbanding yang diumumkan tahun lalu apabila kerajaan mengambil langkah mengawal perbelanjaan dan berdepan tekanan harga minyak global.
Ini juga merupakan penguncupan pertama sejak Belanjawan 2020.
Bagaimanapun, Anwar dalam ucapan belanjawannya berkata bahawa perbelanjaan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan badan berkanun serta pelaburan awam-swasta akan memberi kerajaan tambahan RM50.8 bilion untuk inisiatif awam.
Anwar berkata ini akan menjadikan peruntukan keseluruhan belanjawan sebanyak RM470 bilion.






