Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghadiri program Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka pada Ahad ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Katanya perhimpunan itu bukan saja menjadi simbol sokongan kepada warga Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis, malah menjadi titik mula gerakan delegasi aktivis yang bakal membawa bantuan ke Gaza pada hujung bulan ini.
“Insya-Allah, Ahad ini akan bersama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti buat saudara kita di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
“Ayuh kita semarakkan panji-panji keadilan dan kemanusiaan di Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza.
“Semoga doa dan usaha ini menjadi kekuatan untuk saudara kita terus bangkit dalam perjuangan memerdekakan bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi malam tadi.
Acara anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu dinaungi perdana menteri serta disokong Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.
Menurut penganjur, lebih 100,000 peserta dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan itu dengan tema pakaian berwarna putih.
– Bernama